Perdana Putra Muhyiddin Yassin Prime Minister Office announcement
Pejabat Perdana Menteri

Pendahuluan

Pembubaran Parlimen pada 10hb Oktober 2022 yang lalu sedikit sebanyak telah merungkai teka-teki hala tuju politik negara. Setelah berhadapan dengan beberapa krisis luar jangka, samada berbentuk konflik politik, mahupun cabaran krisis kesihatan awam, serta bencana alam, Parlimen akhirnya dibubarkan dan mandat untuk memilih pucuk kepimpinan negara dikembalikan semula kepada rakyat. Umum diketahui bahawa pilihanraya umum merupakan salah satu mercu tanda utama kepada sesebuah demokrasi yang berfungsi.

Ini sesuai dengan maksud perkataan ‘demokrasi’ itu sendiri yang berasal daripada perkataan Yunani, iaitu demokratia yang membawa maksud ‘pemerintahan rakyat’. Oleh itu, sebuah pilihanraya haruslah diadakan secara berkala bagi memperbaharui mandat pemerintahan sesebuah kerajaan. Melalui sebuah pilihan raya, ia akan memastikan kelangsungan perjalanan ekosistem demokrasi yang utuh yang menjunjung agenda pemisahan kuasa yang seterusnya memperkasakan doktrin semak dan imbang.

Hal ini kerana tujuan utama sebuah pilihan raya diadakan adalah bukan sahaja untuk mengundi calon calon yang sesuai bagi mengisi 222 kerusi Parlimen, malah ia juga menjadi wadah untuk melantik peneraju kerajaan yang baharu. Namun apa yang kurang disedari oleh rakyat kebanyakan adalah apakah kedudukan kerajaan semasa daripada segi perlembagaan dan perundangan?. Hal ini tercetus kerana pusat utama sesebuah mandat penubuhan kerajaan terletak kepada seorang Perdana Menteri yang harus menjadi ahli Dewan Rakyat di Parlimen terlebih dahulu seperti mana yang dikehendaki oleh Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, dengan pembubaran Parlimen, maka terbatallah keahlian Perdana Menteri sebagai ahlinya sekali gus menghilangkan kelayakannya untuk meneruskan mandat sebagai ketua kerajaan. Justeru itu, bagaimanakah negara ditadbir sejurus sahaja Parlimen dibubarkan?

Kerajaan sementara dan pembubaran Parlimen

Secara asasnya, Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membubarkan Parlimen. Perkara ini juga harus dibaca bersama dengan Perkara 40(2)(b) dimana Yang di-Pertuan Agong mempunyai budibicara samada untuk memperkenankan nasihat Perdana Menteri bagi tujuan untuk membubarkan Parlimen atau sebaliknya.

Sekiranya Parlimen dibubarkan, maka menurut Fasal (4) Perkara 55, satu pilihanraya umum haruslah diadakan dalam tempoh enam puluh hari daripada tarikh pembubaran tersebut. Situasi ini membawa kepada sebuah pembentukan ‘caretaker government’ ataupun disebut kerajaan sementara. Kerajaan sementara adalah kerajaan sebuah negara yang wujud walaupun tempoh pemerintahannya berakhir namun dibernarkan untuk terus mentadbir dalam jangka masa dan kapasiti yang terhad. Dalam hal ini, Dr Cyrus Das menyimpulkan bahawa terdapat tiga keadaan di mana kerajaan sementara boleh terbentuk, pertamanya ianya boleh berlaku apabila Parlimen dibubarkan dan proses piliharanya umum belum selesai.

Keduanya, ia juga boleh terbentuk walaupun selepas pilihan raya umum dijalankan; sekiranya wujud keadaan ‘hung parliament’ ataupun Parlimen tergantung, – di mana tiada pihak yang mempunyai mandat yang jelas untuk membentuk kerajaan yang baharu.

Ketiga, sekiranya kerajaan sedia ada terbubar akibat undi tidak percaya terhadapnya diluluskan oleh Parlimen. Oleh yang demikian didalam keadaan ini, kerajaan yang hilang mandatnya tetap diberikan kepercayaan untuk menerajui tampuk pemerintahan negara sehinggalah satu kerajaan baharu ditubuhkan sejurus daripada pilihanraya umum yang bakal diadakan.

Kerajaan sementara diketuai oleh seorang ‘caretaker Prime Minister’ ataupun disebut Perdana Menteri Sementara. Jawatan Perdana Menteri Sementara ini pada kebiasaannya diisi oleh penyandang jawatan Perdana Menteri sebelumnya, iaitu sebelum Parlimen tersebut dibubarkan. Keadaan ini bersesuaian dengan kehendak Perkara 43(2) yang menyatakan bahawa seseorang yang menjadi Ahli Dewan Rakyat bagi penggal yang lepas boleh dilantik sebagai ahli Jemaah Menteri walaupun Parlimen telah dibubarkan. Namun, beliau haruslah melepaskan jawatannya sejurus sahaja penggal baharu parlimen bermula.

Walaupun boleh dikatakan kerajaan sementara terbentuk setiap kali pilihan raya umum diadakan akibat pembubaran Parlimen, namun secara amnya punca kuasa kerajaan sementara di Malaysia tidaklah disentuh secara khusus di dalam Perlembagaan Persekutuan ataupun mana-mana undang-undang bertulis di negara ini. Hakikatnya, punca kuasa sebuah kerajaan sementara dan tatacara urusnya hadir daripada konvensyen dan amalan-amalan negara-negara Komenwel.

Usia dan tempoh mandat sebuah kerajaan sementara juga adalah kurang jelas. Hal ini kerana sebahagian sarjana undang-undang berpendapat bahawa mandat sebuah kerajaan sementara berakhir sejurus sahaja pilihanraya umum diadakan. Manakala, sebahagian besar yang lain berpendapat bahawa kerajaan sementara akan terus mempunyai mandat terhad untuk mentadbir, sehinggalah sebuah kerajaan baharu yang dipilih melalui pihanraya dilantik.

Kuasa dan fungsi terhad kerajaan sementara 

Tujuan utama pembentukan sebuah kerajaan sementara adalah bagi memastikan bahawa urusan kebiasaan kerajaan berjalan seperti biasa walaupun Parlimen telahpun dibubarkan. Hal ini adalah mustahak bagi memastikan kepentingan negara dan kerajaan adalah terjamin dalam apa jua keadaan termasuklah ketika ketiadaan kerajaan yang bermandat penuh. Walaupun begitu, kuasa yang dimiliki oleh sesebuah kerajaan sementara adalah sangat terhad. Peranan dan kuasa terhad ini termasuklah memastikan bahawa undang-undang sedia ada dikuatkuasakan, meneruskan mesyuarat-mesyuarat rasmi kerajaan, dan juga meneruskan polisi-polisi kerajaan sedia ada. Dalam pada itu, kerajaan
sementara juga mempunyai tanggungjawab untuk memastikan pilihanraya umum dijalankan dengan bebas dan adil.

Disebabkan ketiadaan satu garis panduan khusus yang jelas berkenaan dengan kerajaan sementara di Malaysia, maka peranan, dan fungsi kerajaan sementara adalah bersumberkan konvensyen negara-negara Komenwel. Dalam melaksanakan fungsinya, kerajaan sementara tidak boleh melaksanakan beberapa perkara kerana ianya adalah sebuah kerajaan yang tidak mempunyai mandat yang jelas. Hal ini termasuklah memperkenalkan polisi-polisi penting yang boleh memberikan kesan besar kepada
negara. Ini termasuklah meluluskan perbelanjaan dan juga mengikat kontrak utama. Di atas kekurangan mandat juga, kerajaan sementara juga dilarang melantik mana mana individu untuk jawatan utama didalam negara, melainkan dengan rundingan dan persetujuan parti-parti pembangkang.

Walaupun kerajaan sementara masih lagi boleh berurusan dengan negara-negara luar,
namun pemeteraian perjanjian antarabangsa, terutamanya yang boleh mengikat kerajaan yang baharu haruslah dielakkan. Dalam pada itu, kerajaan sementara adalah dilarang sama sekali menggunakan apa-apa fasiliti atau dana awam bagi tujuan kepartian terutamanya yang berkaitan dengan pilihanraya yang diadakan.

Penutup

Konsep kerajaan sementara bukanlah sesuatu yang baharu, malah sudahpun digunakan sejak daripada pilihanraya umum pertama selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1959. Namun, pada pengetahuan penulis, setakat hari ini, masih belum wujud satu bentuk undang-undang bertulis, mahupun garis panduan khusus berkenaan dengan tatacara dan tatakelola sebuah kerajaan sementara di Malaysia.

Pada hemat penulis, penggubalan undang-undang dan garis panduan yang disebutkan
diatas adalah penting bagi memastikan kerajaan sementara beroperasi mengikut norma norma demokrasi yang jelas dan telus serta menepati maksud dan kehendak Perlembagaan Persekutuan. Ini selaras dengan perkembangan di negara-negara maju seperti Australia umpamanya yang mempunyai sebuah Garis Panduan khusus menerusi “Guidance on Caretaker Conventions 2021” yang diterbitkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kabinet Australia. Walaupun garis panduan tersebut bukanlah bersifat perundangan, namun ianya adalah mustahak kerana ia memberikan kejelasan terhadap apa
yang harus dilakukan dan dijauhi oleh sebuah kerajaan sementara.

Oleh: Dr. Hafidz Hakimi Haron
Pensyarah di Fakulti Undang-Undang
Universiti Multimedia
Melaka