Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. capital punishment mandatory death sentence abolish
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

PUTRAJAYA – Kerajaan telah menubuhkan Pusat Scam Respons Kebangsaan (NSRC) sebaik selesai pembentangan Bajet 2023 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 7 Oktober lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, NSRC ditubuhkan sebagai salah satu inisiatif bagi menangani kes jenayah penipuan siber dengan lebih berkesan dan bersepadu.

Kata beliau, NSRC adalah sebuah pusat respons setempat yang menggabungkan sumber dan kepakaran daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), polis, Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), institusi-institusi perbankan serta syarikat perkhidmatan telekomunikasi bagi menerima laporan daripada mangsa penipuan siber.

“Ini bagi membolehkan tindakan bersepadu dan segera untuk menyekat pengaliran dana selanjutnya serta mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku jenayah siber.

“Bagi membolehkan NSRC mengambil tindakan berkesan khususnya menyekat pengaliran dan pelupusan wang mangsa, mereka boleh terus menghubungi talian khusus bank masing-masing berkenaan laporan insiden penipuan siber.

“Talian NSRC ialah 997 yang akan beroperasi setiap hari termasuk cuti umum dari jam 8 pagi hingga 8 malam,” katanya dalam kenyataan kepada media, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, menghubungi segera bank atau NSRC adalah penting bagi membolehkan tindakan menyekat pengeluaran wang mangsa daripada sistem perbankan.

Katanya, bagi memudahkan tindakan penguatkuasaan, mangsa perlu memberikan maklumat berkaitan insiden penipuan siber yang dialami ketika menghubungi bank atau NSRC.

“Ini termasuk maklumat komunikasi antara mangsa dengan suspek dan maklumat transaksi yang membawa kepada mangsa ditipu seperti nombor akaun dan nama bank mangsa dan suspek serta jumlah dana yang terlibat.

“Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa berwaspada apabila dihubungi oleh mereka yang mengaku kononnya daripada pihak berkuasa atau berkaitan apa-apa perkhidmatan yang diragui.

“Pihak NSRC, agensi berkaitan di bawahnya atau bank tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta maklumat perbankan peribadi seperti nombor PIN, TAC, OTP atau kata laluan,” katanya.

Oleh itu, mereka dinasihatkan membuat semakan sewajarnya bagi mengesahkan keabsahan fakta-fakta jika dihubungi oleh pihak yang meminta maklumat berkenaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai NSRC, hubungi NFCC di talian 03- 8861 3830, PDRM (03-2610 1222) dan BNM (1-300-88-5465). – MalaysiaGazette