Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Barisan Nasional (BN) Pahang mencatatkan banyak pencapaian luar biasa sepanjang 53 bulan mentadbir kerajaan di negeri ini selepas menang pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian cemerlang itu boleh disifatkan sebagai luar biasa dan belum pernah berlaku.

“Ini dapat dibuktikan dengan kutipan hasil Pahang yang memecah rekod melebih RM1 bilion, pelaburan yang dibawa masuk mencecah RM20.5 bilion dan kejayaan mengurangkan 71 peratus hutang negeri daripada RM3.31 bilion kepada RM952 juta,” katanya pada sidang media khas di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Jelas beliau, kejayaan ini dicapai kerana wujudnya kestabilan politik dalam pentadbiran negeri Pahang, sekali gus membolehkan kerajaan negeri merancang dan melaksanakan pelbagai agenda.

“Tiada ugut-mengugut dan tiada ancaman lompat-melompat. Yang ada hanyalah kestabilan dan kerjasama yang kuat antara satu sama lain,” ujarnya sambil menambah kejayaan ini tidak mungkin dicapai  tanpa komitmen dan dedikasi semua pihak.

Beliau berkata demikian kepada sidang media khas di Wisma Sri Pahang di sini hari ini sejurus pengumuman pembubaran Dewan undangan Negeri (DUN) Pahang dibuat hari ini

Wan Rosdy turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Pahang kerana telah meletakkan kepercayaan kepadanya serta Kerajaan BN untuk mentadbir negeri ini sejak empat tahun yang lepas.

“Sekiranya mandat terus diberikan kepada kita dalam Pilihan Raya Umum Ke-15  yang akan dijalankan tidak lama lagi ini, saya akan memastikan BN melakukan ikhtiar yang jauh lebih cemerlang, berbanding apa yang telah kami usahakan pada penggal ini.

“Semoga prestasi dan pencapaian cemerlang pada penggal ini, serta segala agenda menarik yang telah dibentangkan dalam Belanjawan 2023 minggu lalu, akan menjadi pertimbangan kepada semua pihak untuk mengekalkan mandat BN sebagai pentadbir Negeri Pahang,” ujarnya. – MalaysiaGazette