Keadaan pangsapuri di Mykolaiv yang musnah selepas dibedil. Foto Euromaidan Press

KYIV  – Lima orang terbunuh selepas peluru berpandu membedil sebuah pangsapuri di Mykolaiv, dekat selatan Ukraine.

Bedilan itu memusnahkan blok pangsapuri lima tingkat.

Manakala sebuah pangkalan tentera turut diserang.

Perkhidmatan Kecemasan Ukraine berkata, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun berjaya diselamatkan dari runtuhan selepas operasi menyelamat mengambil masa enam jam.

Mangsa yang dibawa ke hospital, bagaimanapun meninggal dunia tidak lama kemudian.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.

Sementara itu, Pentadbiran Tentera Wilayah Lviv mendakwa tentera Rusia melancarkan tiga peluru berpandu tetapi satu daripadanya ditembak jatuh oleh unit pertahanan udara.

Tetapi sebuah kompleks tentera di sekitar Lviv rosak akibat serangan itu.

Dua serangan dilaporkan berlaku di bandar Kharkiv, timur Ukraine pada waktu malam dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan.

Tentera Udara Ukraine turut mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya telah menembak jatuh jet pejuang Su-24M Rusia semasa menjalankan operasi di kawasan itu untuk menyokong tenteranya.

Seorang daripada dua juruterbang di dalam pesawat  itu dilaporkan terkorban apabila pesawat itu terhempas di kawasan Poltava.

Moscow telah menyasarkan beberapa bandar Ukraine dalam serangan udara berikutan letupan 8 Oktober di sebuah jambatan Rusia ke Crimea.

Presiden Rusia Vladimir Putin telah menyalahkan Kyiv atas apa yang disebutnya sebagai “serangan pengganas” di Jambatan Kerch.

Pada hari Rabu, pegawai Ukraine berkata, 14 lagi orang awam terbunuh dalam serangan baharu Rusia di pelbagai bahagian negara itu.

Korban awam dalam perang yang sedang berlangsung, kini dalam bulan kelapan, hampir 16,000, termasuk lebih 6,220 terbunuh dan lebih 9,370 cedera, menurut angka PBB yang dikeluarkan minggu ini – Agensi