Ismail Sabri menandatangani plak perasmian Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3, Jasin, hari ini sambil disaksikan Sulaiman. Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 di Empangan Jus, di sini.

JASIN – Putrajaya menyokong usaha Melaka untuk meneruskan projek panel solar terapung di Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 di Empangan Jus, di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana usaha Melaka melalui Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) itu selari dengan hala tuju kerajaan Persekutuan ke arah mencapai Negara Sifar Karbon menjelang tahun 2050.

Menurutnya, inisiatif bagi projek Renewable Energy yang dirangka oleh SAMB juga dilihat dapat memacu perkembangan teknologi yang baik bagi negeri Melaka.

“Selain memastikan kecukupan bekalan air terawat untuk Keluarga Malaysia Melaka, projek ini mampu meningkatkan nama Melaka sebagai negeri maju selain mengharumkan nama Malaysia di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3, Jasin hari ini. Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, loji berkenaan akan memberi memberi manfaat kepada lebih 100,000 Keluarga Malaysia Melaka khususnya di daerah Jasin dan Merlimau.

“Pembinaan loji ini yang menelan belanja sebanyak RM40 juta adalah satu inisiatif SAMB untuk membantu Keluarga Malaysia di Melaka yang sebelum ini berdepan dengan kemarau sehingga terpaksa mencatu bekalan air pada Januari sehingga Mac 2020.

“Loji ini beroperasi menggunakan bekalan air mentah dari Tasik Biru yang merupakan bekas lombong yang tidak lagi digunakan,” katanya.

Tambahnya, Kerajaan Pusat sentiasa menyokong usaha Melaka dalam menjalankan projek dan kajian bagi meningkatkan sumber air mentah negeri.
.
“Ini termasuklah meluluskan peruntukan sebanyak RM350 juta melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Melaka bertempat di Tasik Biru ini bagi menambah sumber bekalan air mentah di seluruh negeri ini.

“Sebagai penyelesaian jangka panjang, kerajaan Pusat turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), bagi kerja penyaluran air mentah dari TAPS Melaka ke Empangan Jus di Jasin yang dijangka siap pada 2028,” katanya.

Kerajaan Pusat pada masa yang sama katanya, sedang melaksanakan projek pembinaan TAPS Jernih di Alor Gajah dengan peruntukan sebanyak RM234.7 juta dan dijangka siap pada 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast