Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Tidak ada mana-mana parti yang akan menang majoriti iaitu lebih 111 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, kata Presiden Parti Bumiputera Malaysia (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, dengan ini akan menyaksikan berlaku gabungan blok antara parti yang mendapat lebih 50 hingga 70 kerusi untuk membolehkan kerajaan dibentuk secara bersama.

Katanya, untuk sesebuah parti hendak menjadi kerajaan sekurang-kurangnya perlu menang 112 kerusi atau lebih.

“Saya meramalkan PRU15 di peringkat Parlimen ini tidak ada parti yang akan menang majoriti secara mutlak iaitu kemenangan lebih 111 kerusi untuk menubuhkan kerajaan.

“Sekarang ini sudah ada empat blok iaitu Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan GTA. Semua blok ini diterajui oleh tokoh yang handal, tetapi sudah luka, ibarat harimau yang cedera,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, kata Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya Putra/GTA Kelantan, setakat ini parti itu sudah mengenal pasti enam daripada 14 kerusi Parlimen yang akan ditandingi secara empat penjuru.

Katanya, lapan kerusi lagi akan ditandingi oleh calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Kelantan dan komponen GTA iaitu Berjasa, Iman dan NGO..

“Di Kelantan, Majlis Tertinggi GTA bersetuju calonnya bertanding menggunakan simbol Putra memandang gerakan ini belum mendapat kelulusan daripada ROS, manakala manakala di negeri lain menggunakan simbol parti Pejuang.

“Saya berpuas hati dan gembira dengan calon GTA di Kelantan kerana membariskan tokoh akademik (profesor), bekas penjawat awam berpengalaman, profesional (peguam) termasuk ahli politik.

“Dari segi umur pula calon yang bertanding adalah pelbagai peringkat usia dan menepati syarat ditetapkan iaitu bersih, berintegriti, bermoral dan sihat,” kata beliau.

Mengenai manifesto, kata beliau lagi, Urusetia GTA pusat akan menyediakannya dan digunapakai oleh semua parti termasuk Putra di Kelantan dengan tambahan “Selamatkan Melayu, Daulatkan Islam – Tegas mempertahankan agenda Melayu dan Islam”. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast