Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad sedar ada pihak yang mempersoalkan keputusannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)  walaupun umurnya akan mencecah 100 tahun tiga tahun lagi.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) dan Pengerusi Pejuang berkata,  ada yang melemparkan kata-kata sinis, meminta beliau untuk duduk di masjid dan melakukan  lebih banyak ibadah.

Tidak kurang juga ada yang meminta beliau untuk duduk di rumah bermain dengan cucu.

Serangan itu dipatahkan oleh Mahathir dengan menyatakan umur panjang yang dianugerahkan kepadanya merupakan satu peluang untuk beliau terus berjuang.

Malah menurut Mahathir, keputusannya untuk bertanding dan terus berjuang merupakan satu ibadah seperti mana ibadah-ibadah lain.

“Pertamanya, saya masih lagi hidup dengan rahmat Allah. Bagi saya umur panjang beri peluang kepada saya untuk terus berjuang. Tidak ada perjuangan yang lebih baik, selain dari berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Saya percaya perjuangan tersebut juga adalah satu ibadah seperti mana yang saya diwajibkan melakukan ibadah samada di masjid mahupun ibadah-ibadah yang lain.

“Saya percaya perjuangan itu satu ibadah dan tidak ada persaraan apabila melaksanakan ibadah. Ini termasuklah meneruskan perjuangan,” katanya dalam kenyataan di media sosial.

Dua hari lalu Mahathir mengumumkan akan mempertahankan Parlimen Langkawi yang disandangnya ketika ini.

Beliau akan mewakili parti GTA dalam PRU yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Mahathir bagaimanapun belum memutuskan untuk mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri jika GTA berjaya memperoleh kemenangan.

“Sebagai pemimpin, saya tidak boleh duduk mengarah dan menyuruh orang melakukan sesuatu tanpa saya sendiri turut melakukannya.

“Jika saya mahu orang lain berjuang menentang kleptokrat dan penyamun-penyamun negara, saya mesti turut serta. Selagi hidup, saya akan terus berjuang,” kata Mahatahir.

Pada PRU14 Mahathir telah bergabung dengan musuh-musuh tradisinya seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Mohamad Sabu dalam Pakatan Harapan (PH) untuk menewaskan Barisan Nasional (BN).

Kerjasama itu membuahkan hasil apabila PH berjaya menewaskan BN dan beliau dipilih sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun usia Kerajaan PH tidak panjang iaitu hanya 22 bulan selepas berpuluh ahli Parlimen Bersatu dan bekas PKR keluar daripada pakatan tersebut.

Kabinet PH terbubar secara automatik selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri sekaligus Kerajaan PH tumbang.

Pada PRU15 ini Mahathir mencari pakatan baharu dan berjaya membentuk GTA dengan kerjasama beberapa parti kecil.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.