Pekerja sedang menurunkan hasil laut yang baharu sahaja tiba untuk dimasukkan ke tong ikan di Jeti Bagan Pasir,Tanjung Karang, Selangor . Foto HAFIZ SOHAIMI, 11 JULAI 2021.

BUKIT GANTANG – Bekalan ikan di beberapa jeti utama di Kedah dan Perak mengalami kekurangan sehingga 50 peratus berikutan cuaca tidak menentu sejak dua minggu lepas.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pada waktu biasa, daripada 200 kapal yang ke laut, 20 hingga 30 kapal akan mendaratkan ikan.

“Bagaimanapun ekoran cuaca tidak menentu ketika ini, hanya dua ke tiga kapal mendarat dengan bekalan ikan yang sangat sedikit,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.

Penyandang kerusi Parlimen Bukit Gantang itu berkata, LKIM akan mengeluarkan bekalan ikan sejuk beku atau Q-fish bagi menampung permintaan sekali gus mengatasi kekurangan bekalan ikan.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) baru-baru ini beberapa kali mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa negeri termasuk melibatkan Kedah dan Perak. – Bernama