JOHOR BAHRU- Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa UMNO sebagai parti keruh tidak mencerminkan keislaman beliau dalam sebuah parti Islam.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled yang membidas kenyataan itu mempersoalkan jika MNO sebuah parti keruh mengapa Abdul Hadi berusaha untuk mengadakan dua kali pertemuan.
”Kalau keruh buat apa mulakan Muafakat Nasional.
“Bagi saya ini semua alasan. Alasan untuk mewajarkan mencari jalan keluar,” beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Mawar, di sini hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Pas mendapati masih terdapat ‘kekeruhan’ yang membelenggu Barisan Nasional (BN) melibatkan beberapa perkara antaranya isu rasuah yang belum selesai.
Abdul Hadi juga mendakwa kecuaian BN dalam melaksanakan perjuangan Islam ketika mentadbir negara menyebabkan Pas menangguhkan kerjasama dalam PRU15 ini.
Presiden Pas itu berkata, keputusan BN untuk mengadakan PRU15 pada waktu terdekat ini dalam keadaan kebanyakan negeri sedang melakukan persiapan menghadapi banjir, menggambarkan kegopohan BN untuk memperoleh kuasa.
Khaled turut membidas kenyataan itu menegaskan, soal rasuah atau tidak biarlah mahkamah yang menentukannya.
Lagipun UMNO ada tiga juta ahli dan bukan semuanya terpalit dengan kes mahkamah.
“Lagipun isu mahkamah ni bukan UMNO sahaja, kalau kita lihat kes DAP pun pernah ditarik balik. Jadi pada saya itu hanya satu alasan,” tambahnya.
Khaled berkata, UMNO bersedia mengambil tanggungjawab untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) awal ketika negara kemungkinan berlaku banjir selepas berfikir panjang dan mengambil kira pelbagai faktor.
“Ramai persoal kenapa adakan PRU sekarang sedangkan ada sembilan bulan lagi sebelum penggal tamat, pelbagai alasan diberi mengapa tidak sesuai dan banjir menjadi alasan utama,” ujarnya.
Menjawab soalan itu, beliau berkata, pertimbangan utama UMNO ialah Malaysia sudah lama terumbang-ambing, tiada hala tuju dan tiada pelan pemulihan ekonomi.
Tegas Khaled, perkara-perkara ini ini membimbangkan UMNO kerana reputasi Malaysia sebagai negara membangun yang berjaya telah musnah.
”Keadaan yang berlaku ini mesti ditamatkan,” kata beliau. – MalaysiaGazette