KUALA LUMPUR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tidak akan dibubarkan sekali dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurut Setiausaha Agung DAP, DUN Pulau Pinang hanya dibubarkan pada tahun depan.
Anthony Loke Siew Fook berkata, meskipun pemimpin DAP dan rakyat Pulau Pinang mahu pilihan raya serentak tetapi DAP terpaksa membuat keputusan ini.
Keputusan ini dibuat selepas banjir yang diramalkan pada berlaku November dan Disember tahun ini.
“Kepimpinan wakil Pulau Pinang hampir kesemuanya sebulat suara mahu diberikan kelonggaran untuk membubarkan DUN, ada hujah-hujah mereka, juga permintaan dari pengundi mereka. Saya amat faham sentimen tersebut.
”Tetapi saya perlu mengecewakan rakan saya sendiri di Pulau Pinang kerana saya tahu kalau buat keputusan supaya DUN Pulau Pinang bubar tetapi Selangor dan Negeri Sembilan tidak bubar, ini akan diterjemahkan sebagai satu keputusan yang memecahbelahkan Pakatan Harapan.
“Ini juga akan menjadi senjata dan peluru kepada musuh kita yang menggambarkan seolah-olah PH tidak bersatu dan tidak boleh membuat keputusan kolektif.
“Maka, kami putuskan untuk kekal dengan pendirian menangguhkan pembubaran DUN Pulau Pinang sehingga satu tempoh yang lebih kondusif iaitu selepas tempoh monsun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di sini hari ini yang turut di hadiri Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Parti Amanah Negeri (Amanah), Mohamad Sabu.
Beberapa hari lepas, Majlis Presiden PH telah memutuskan tiga negeri di bawah pentadbirannya – Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor tidak akan membubarkan DUN masing-masing sehingga selepas musim tengkujuh.
Namun pada masa sama, segelintir pemimpin DAP Pulau Pinang mempunyai pandangan berbeza dan mahu supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang berjalan serentak dengan PRU15.
Anwar juga mengesahkan ketiga-tiga negeri jajahannya tidak membubarkan DUN masing-masing bagi memastikan persiapan dibuat untuk menangani banjir di negeri terbabit.-MalaysiaGazette