JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor hari ini mengisytiharkan esok sebagai cuti khas peristiwa, sempena kejayaan gemilang pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut dan memenangi 10 piala dalam lain-lain kejuaraan yang disertai JDT pada tahun ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, pemberian cuti khas peristiwa itu juga, dibuat sebagai tanda meraikan kejayaan cemerlang negeri menjuarai Kejohanan Sukan SUKMA Edisi ke-20 lalu.

Dalam satu kenyataan malam ini, beliau berkata ia merupakan kejayaan Johor pertama kalinya semenjak temasya sukan dwi tahunan itu mula dianjurkan pada tahun 1986.

Johor unggul dengan kutipan pingat sebanyak 77 pingat emas, sekali gus melepasi jauh sasaran yang ditetapkan, iaitu 55 pingat emas.

Selain itu, kerajaan negeri juga ingin memberi penghargaan kepada beberapa acara sukan lain yang disertai oleh pasukan negeri Johor, yang mencatatkan kecemerlangan dan merangkul kejuaraan  sepanjang 2022 seperti bola jaring, menerusi Johor Jewels, menjuarai Sooka Netball Super League (NSL) 2022.

Pasukan sepak takraw juga beraksi cemerlang apabila berjaya menjuarai Piala Tun Ali pada Ogos, manakala pasukan ragbi menjuarai Ragbi 7 Sebelah Kebangsaan B-21 dan menjadi johan dalam Kejohanan HARP B-19 Lelaki 2022.

Azmi berkata, pemberian cuti itu juga merupakan penghargaan kerajaan negeri kepada pihak terlibat dan rakyat Johor, yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada setiap pasukan yang bertanding mewakili negeri Johor Darul Ta’zim.

Keputusan pengisytiharan cuti khas peristiwa itu, adalah selaras dengan peruntukan kuasa yang diberikan di bawah Seksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan Am 1951 [Akta 369].  – Bernama