Respons Menteri-Menteri PH mengenai Pulau Batu Puteh.

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mempersoalkan mengapa bekas Menteri-Menteri Pakatan Harapan (PH) seolah-olah pakat hilang ingatan apabila ditanya mengenai kes kecuaian mereka sehingga terlepasnya kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura.

Menerusi hantarannya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkongsi kenyataan-kenyataan daripada pemimpin-pemimpin PH.

Mereka ini dilantik semasa Kerajaan Persekutuan dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri ketujuh.

Lim Guan Eng yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan berkata: “Saya tak ikut isu Pulau Batu Puteh. Dalam ingatan saya, kena tanya Saifuddin Abdullah, mendiang Liew Vui Keong sebab mereka yang syorkan keputusan lepaskan tuntutan”.

Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula berkata: “Saya enggan ulas kerana tidak ingat sama ada Mahathir atau Jemaah Menteri membuat keputusan untuk menarik balik permohonan itu”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Redzuan Yusof berkata: “Salah kerajaan BN dipimpin Najib Razak sebab cuai”.

Teresa Kok dilaporkan berkata: ”Saya tak ingat dan minta wartawan mengesahkan dengan Mahathir sendiri”.

Bekas Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Khalid Samad, bekas Menteri Wilayah membuat kenyataan sama.

Mereka enggan mengulas lanjut dan perlu menyemak nota berhubung isu itu. – MalaysiaGazette