Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai . Foto MUHD NA'IM, 02 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan selepas berucap di atas jalan menggunakan pembesar suara dan menghalang lalu lintas sebelum membuat provokasi terhadap poli.

Suspek ditahan oleh anggota polis ketika dia mengganggu lalu lintas di Jalan 45/10, Taman Koperasi Polis Fasa 2, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima maklumat pada jam 5.45 petang mengenai seorang lelaki memberi ucapan menggunakan pembesar suara di atas jalan raya sehingga menyulitkan orang ramai.

“Bertindak atas maklumat, anggota polis telah digerakkan ke lokasi kejadian dan mendapati individu terbabit memegang sebatang kayu diikat bersama bendera parti politik dan memegang satu unit pembesar suara sambil berkempen mengenai pilihan raya.

“Anggota polis memperkenalkan diri dan meminta individu tersebut mengemukakan pengenalan diri namun dia enggan memberikan kerjasama dan bertindak membuat provokasi mempersoalkan kuasa pihak berkuasa.

“Pihak polis telah menasihati individu tersebut untuk beredar namun suspek enggan berbuat demikian. Dia sekali lagi melakukan provokasi dengan mempertikaikan tugas anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Eng Lai, suspek warga tempatan berusia 44 tahun itu kemudian ditahan.

Semakan polis mendapati individu ini mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 283 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast