PPN IBRAHIM YAHAYA
Presiden penaja PPN, Ibrahim Yahaya bercakap kepada pemberita selepas selepas mesyuarat persiapan PPN untuk PRU15 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Parti Penyatuan Nasional (PPN) akan bertanding di 160 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Ibrahim Yahaya berkata, kebanyakan kerusi tersebut terletak di Semenanjung manakala yang lain di Sabah dan Sarawak.

Beliau turut menyasarkan calon-calon PPN memenangi dua pertiga daripada kerusi Parlimen yang ditandingi.

“Kami juga akan bertanding di kerusi-kerusi DUN dalam 160 kawasan Parlimen terbabit, sekiranya DUN dibubarkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Ibrahim mempengerusikan mesyuarat persiapan jentera PPN bagi menghadapi PRU15.

Beliau turut mengumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Bayan Baru dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak sekiranya DUN Pulau Pinang dibubarkan.

Ibrahim berkata, PPN akan bergerak secara solo dan tidak menyertai mana-mana gabungan politik.

Tambah beliau, tiada bekas pemimpin parti-parti lain yang akan menyertai PPN.

“Kalau ada pun kami tak benarkan sebab kami nak PPN ini bersih seperti bayi yang baru dilahirkan,” katanya.

Ibrahim berkata, pemimpin-pemimpin PPN juga bukan gila kuasa hendak menjadi Perdana Menteri.

“Kami tidak mementingkan kemenangan. Apa yang kami pentingkan adalah misi membantu rakyat,” jelasnya.

Ibrahim menambah, PPN lebih menumpukan kepada misi menjaga kebajikan rakyat dan mengurangkan politiking.

Malah, beliau memberitahu, parti itu akan menggunakan dana sendiri bagi membantu golongan B40 dan bantuan itu dijadualkan bermula sebelum PRU15.

“Kekuatan PPN sebab kami ada sediakan dana yang besar yang akan digunakan sebaik mungkin untuk menaikkan ekonomi negara dan rakyat termasuk yang kami saran untuk berikan kepada rakyat setiap bulan,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Ibrahim berkata, PPN membawa agenda membanteras rasuah dan ia bermula dengan pemimpin-pemimpin parti itu sendiri.

Beliau memberitahu, setiap pemimpin PPN di peringkat Parlimen dan DUN akan menguruskan sebuah pasar mini supaya mereka mempunyai sumber pendapatan sendiri.

“Apabila mereka ada pendapatan sendiri, mereka tak akan pandang rasuah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast