Tengku Razaleigh Hamzah

GUA MUSANG – Tengku Razaleigh Hamzah menyerahkan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menentukan sama ada beliau akan disenaraikan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tengku Razaleigh, 85, yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, beliau tidak menolak untuk terus bertanding seandainya diminta parti untuk berbuat demikian.

“Saya sendiri, saya serah kepada parti. Di dalam Gua Musang ini setiap tahun tak nak bagi saya bersara,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat, Bukit Cekati di sini hari ini.

Pada mesyuarat tersebut, UMNO Bahagian Gua Musang sebulat suara menyokong usul mengekalkan Tengku Razaleigh sebagai calon Ahli Parlimen Gua Musang pada PRU15.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, masyarakat Orang Asli juga mahu beliau kekal sebagai calon Ahli Parlimen Gua Musang.

“Terutama sekali Orang Asli, mereka buat keputusan ramai-ramai tak mahu calon lain, dia nak saya.

“Setiausaha UMNO Bahagian (Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri Ab Aziz Yusoff), dia kata selagi saya tak ‘gogek’ (goyah) saya kena tawar diri saya untuk bekerja lagi. Saya ikut perintah parti,” katanya.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li memegang rekod sebagai wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini.

Beliau mula bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ulu Kelantan Barat pada 1969 dan berjaya menewaskan calon Pas, Hussin Abdullah.

Kemudian beliau beralih ke kerusi Parlimen pada 1974 bertanding di kawasan Gua Musang, yang sebelum ini dikenali sebagai Parlimen Ulu Kelantan dan kekal sebagai wakil rakyat Gua Musang. – Bernama