Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tujuh suspek termasuk seorang wanita Indonesia yang terlibat memasarkan dadah yang dicampurkan dalam cecair vape dicekup baru-baru ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kesemua suspek ditangkap polis menerusi empat serbuan berasingan pada 13 Oktober lalu.

Operasi itu dibuat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, dadah yang diproses oleh sindiket akan dipasarkan menggunakan perkhidmatan kurier ini.

Mereka sudah bergerak aktif sejak awal tahun ini.

Dalam serbuan itu, pelbagai jenis dadah (dalam perisa Vape) berjumlah 104.16 liter, syabu 27.56 gram dan 160 biji pil yaba kesemuanya dianggarkan bernilai RM3.44 juta berjaya dirampas.

Kesemua dadah yang dirampas iniĀ  boleh digunakan 10,416 orang penagih, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas lima lima suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan benzo manakala dua suspek lagi negatif.

Semakan rekod jenayah juga mendapati enam suspek mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah lampau.

Dalam operasi sama, tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (pelucuthakan harta) 1988 juga dikenakan yang mana aset sindiket dianggarkan bernilai RM37,407.50 telah disita.

Ia membabitkan tiga buah kenderaan iaitu kereta Honda Civic (RM13,000), motosikal Yamaha RX-Z (RM15,000) dan motosikal Wmoto (RM3,800), wang tunai RM2,530 dan barang kemas RM3,077.50.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek kini direman antara lima hingga tujuh tujuh hari bermula 14 Oktober ini bagi membantu siasatan lanjut. – MalaysiaGazette