Vladimir Putin. Foto TASS

MOSCOW – Presiden Rusia Vladimir Putin mengarahkan supaya tidak perlu melakukan serangan lebih besar ke atas Ukraine, beberapa hari selepas pengeboman paling teruk di negara itu sejak perang bermula.

Beliau berkata, kebanyakan sasaran serangan sudah dibedil, sambil menambah bukan matlamatnya untuk memusnahkan Ukraine.

Bagaimanapun, katanya, matlamat Moscow untuk menggerakkan 300,000 orang akan tercapai dalam masa dua minggu.

Kenyataan itu dibuat ketika kebanyakan tentera Rusia berundur dan Ukraine mara, hampir lapan bulan sejak pencerobohan itu.

Bercakap kepada wartawan selepas sidang kemuncak dengan pemimpin serantau di ibu negara Kazakhstan Astana, pemimpin Rusia itu berkata, serangan baru-baru ini telah memusnahkan 22 daripada 29 sasaran yang ditetapkan di Ukraine.

Kini terdapat baki tujuh sasaran.

“Tidak perlu melakukan serangan besar-besaran. Kami kini mempunyai tugas lain,” katanya.

Mulai Isnin lalu dan seterusnya, Rusia melancarkan gelombang serangan ke atas bandar-bandar di seluruh Ukraine, yang didakwa oleh Putin sebagai tindakan balas terhadap letupan yang merosakkan jambatan utama antara Rusia dan Crimea.

Berpuluh-puluh orang terbunuh dan cedera dalam serangan itu, yang turut merosakkan infrastruktur.

Kawasan tengah Kyiv menjadi sasaran buat kali pertama sejak pencerobohan.

Tetapi Putin berkata, ia bukan niat Rusia untuk memusnahkan Ukraine namun beliau tidak kesal dengan pencerobohan itu.

Putin berkata, 220,000 orang rekrut lelaki telah digerakkan, yang mana 16,000 daripadanya sudah bertempur.

Oleh itu, katanya, tiada keperluan untuk mobilisasi tambahan. – Agensi