Zulkifli Bujang beramah mesra dengan penerima sumbangan Mangsa Banjir Parlimen Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac lalu, Zulkifli Bujang antara tiga nama disenaraikan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Johor Bahru.

Beliau yang merupakan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau bersedia menggalas tanggungjawab berkenaan sekiranya dipilih kepimpinan parti.

Bekas wartawan itu memberitahu, kekalahan dialami dalam PRN lalu tidak mematahkan hasrat beliau untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Bahagian telah menyerahkan senarai tiga nama calon bagi Parlimen Johor Bahru, di mana saya salah seorang daripadanya. Ya saya salah seorang. Tetapi itu tidak semestinya calon boleh menang kerana kepimpinan pusat dan negeri punya kuasa lebih utama dalam soal calon. Mereka tahu siapa lebih layak dan sesuai untuk diketengahkan.

“Seandainya mereka melihat orang tempatan dan ada pengalaman bertanding di sini adalah lebih sesuai, saya terima dan sentiasa bersiap sedia sekiranya dipilih.

“Tewas dalam PRN bukan halangan untuk saya meneruskan misi dalam membantu rakyat. Itu tidak sama sekali bagi saya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir Parlimen Johor Bahru di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini, hari ini.

Pada PRN Johor Mac lalu, Zulkifli tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Hairi Mad Shah menerusi saingan enam penjuru bagi kerusi DUN Larkin.

Sementara itu, Zulkifli memberitahu, sekiranya tidak dicalonkan beliau akan tetap berkhidmat kepada rakyat kerana ia satu tanggungjawab khidmat sosial Bersatu kepada pihak memerlukan di kawasan berkenaan. – MalaysiaGazette