Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Setiausaha Pas Sabah, Dr Aliakbar Gulasan mengingatkan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal supaya mengamalkan politik yang matang.

Menurut beliau, Shafie tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berkenaan pelantikannya dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Ucapan Shafie Apdal tidak sewajarnya keluar daripada mulut seorang pemimpin yang dihormati. Berpolitiklah dengan matang dan jauhkan daripada politik fitnah dan perkauman.

“Tak kenal maka tak cinta. Saya yakin Shafie Apdal tidak memperoleh maklumat sebenar mengenai PAS khususnya di Sabah. Kenali Pas, kenali pemimpin Pas dengan lebih dekat, pasti hati tertawan,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Shafie menerusi video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini, yang mempertikaikan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas dalam kerajaan GRS di negeri itu.

Mengulas lanjut Aliakbar berkata, meskipun ADUN pertama Pas di negeri itu namun beliau merupakan anak jati yang nekad memperjuangkan Sabah.

“Adakah Shafie Apdal baru terjaga dari tidur? Selama puluhan tahun dalam UMNO (parti Semenanjung) sebagai pemimpin, apa yang beliau lakukan untuk negeri dan rakyat Sabah? Hakikatnya, Sabah masih lagi ketinggalan dari segenap sudut.

“Saya adalah anak jati Sabah dan ‘tembuni’ saya ditanam di bumi Sabah. Saya seperti juga anak Sabah yang lain bertekad dan komited memperjuangkan kebajikan rakyat dan membangunkan negeri,” tambah beliau.

Ekoran kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah itu ADUN lantikan berkenaan menyeru ahli politik yang lain menghindarkan fitnah dalam mengeluarkan kenyataan. – MalaysiaGazette