asyraf wajdi dusuki
Asyraf Wajdi Dasuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO menyokong isu silibus Matematik yang dibangkitkan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh.

Kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, isu yang dibangkitkan oleh cikgu berkenaan ada asasnya.

Asyraf turut mempertikaikan kewajaran topik insurans yang diajar kepada murid Tahun 6 dalam subjek Matematik.

“Apa yang dibangkitkan oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh ini ada asasnya. Contohnya, isu Silibus Syok sendiri yang terlalu tinggi dan padat sebagaimana yang dibangkitkan beliau.

“Saya sendiri pernah pertikaikan untuk apa topik insurans atau takaful dibincangkan untuk murid darjah 6 di bawah subjek Matematik? Topik ini pelajar sekolah menengah pun belum tentu faham.

“Saya hampir 10 tahun mengajar subjek Kewangan Islam di UIA (Universiti Islam Antarabangsa) dan kepada pemain industri perbankkan, takaful dan kewangan dahulu pun, apabila masuk bab Takaful pun bukan mudah pelajar peringkat universiti hatta pemain industri nak hadam,” katanya menerusi Facebook.

Malah beliau mempersoalkan apakah jaminan para guru faham tentang subjek yang berunsurkan insurans kerana ia disifatkannya sebagai topik yang sukar dihadam.

“Isteri saya juga seorang profesor dalam bidang Takaful di UIA pun jenuh nak terangkan kepada anak kami darjah 6 bila balik rumah tanya pasal insurans atau takaful dalam subjek matematiknya. Apakah jaminan cikgu di sekolah juga faham mengenainya?” soalnya.

Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berhasrat untuk bertemu Cikgu Mohd Fadli bagi mengetahui lebih lanjut perkara yang dibangkitkan oleh cikgu Matematik itu.

Bagaimanapun Mohd Fadli mempersoalkan niat Radzi kerana baru sekarang hendak bertemu sedangkan isu itu bukan saja telah lama dibangkitkan malah setiap hantarannya di laman Facebook turut menyebut akaun menteri itu.

Cikgu tersebut didakwa bakal berdepan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat selepas bersuara mengenai mata pelajaran yang dibimbanginya menyusahkan pelajarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast