Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan dijadualkan bersidang pada esok (17 Okt) setelah menerima surat representasi yang dikemukakan oleh guru Matematik Mohd Fadli Mohamed Salleh pada 14 Okt.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali menjelaskan, surat yang diterima Mohd Fadli tidak membawa maksud hukuman telah dijatuhkan oleh Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

“Sebaliknya, surat tersebut bertujuan memaklumkan cikgu Fadli mengenai dakwaanya telah diterima oleh pihak berkuasa lembaga tatatertib, serta keperluan untuk mengemukakan representasi atau penjelasan bertulis,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia, hari ini.

Pkharuddin juga berkata prosedur tatatertib ini dibuat di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan diguna pakai oleh semua penjawat awam yang sedang berkhidmat.

Terdahulu, Mohd Fadli mendakwa akan dikenakan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat, kerana menyuarakan pandangan mengenai silibus pembelajaran yang menurutnya terlalu tinggi dan tidak sesuai.

Beliau dalam hantaran menerusi Facebooknya turut menyatakan, bilangan murid di dalam kelas terlalu ramai selain subjek pembelajaran yang banyak serta isu beg berat yang katanya boleh memudaratkan kesihatan murid.

— BERNAMA