KUALA LUMPUR – Usahawan, Datuk Dr. Azizan Osman meluahkan rasa syukur kerana akhirnya berjaya menggenggam ijazah doktor falsafah (PhD) Pentadbiran Perniagaan dari institusi tempatan swasta tempatan pertama iaitu Asia e University (AeU).
Azizan yang juga pakar motivasi memberitahu, memulakan pengajian sejak 201, beliau telah menyiapkan tesis bertajuk Effect of Business Coaching on Growth and Performance and The Moderating Role of Competitive Advantage in Small Medium Enterprises in Malaysia.
Menurut pengasas, RichWorks International Sdn. Bhd. (RichWorks), kejayaan PhD amat bermakna dan berganda buat dirinya apabila telah menduduki peperiksaan bagi Chartered Institute of Management Accountants (CIMA) dan beliau lulus pada April lalu.
“Matlamat saya untuk mempersiapkan diri agar dapat terus memberikan nilai dan panduan berkesan buat bangsa usahawan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di dalam dan luar negara.
“Pengiktirafan dan kelulusan pendidikan yang diterima bukan semata-mata untuk diri sendiri, tetapi untuk diberikan kembali kepada orang ramai terutama usahawan dan organisasi.
“Saya bersama RichWorks juga sudah 15 tahun dalam membimbing usahawan dan ia merupakan passion dirinya untuk melihat transformasi dan metamorfosis seseorang usahawan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau dianugerahkan PhD pada sesi konvokesyen AeU yang merupakan universiti swasta bertaraf global dengan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di World Trade Centre Kuala Lumpur, semalam.
Sebelum ini, selain membimbing secara dekat sekitar 300 usahawan jutawan negara ini, Azizan kini mempunyai tanggungjawab besar apabila dilantik menjadi ahli Lembaga Pengarah Managepay Systems Bhd. (MPay) sebagai Pengarah Bukan Bebas.
Berkongsi rahsia, Azizan memberitahu, impiannya yang sentiasa ingin membahagiakan ibunya, Mariah Ahmad merupakan jawapan mengapa beliau juga mudah menghadam ilmu sekaligus cemerlang dalam bidang akademik.
Menyantuni kehidupan dengan berpegang pada dua perkara iaitu mencari keberkatan dan menjaga hubungan dengan orang sekeliling, merupakan jambatan rezeki yang melimpah ruah dalam perniagaannya.
Biar betapa sibuknya saya, saya ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan ibu saya untuk buat beliau gembira.
“Kalau saya lama tidak berjumpa emak, saya akan cari jalan untuk bertemu beliau. Saya juga pastikan emak ibu misalnya melakukan sesuatu yang beliau suka dan berbuat baik kepada orang yang beliau sayang.
“Saya juga ada KPI dengan isteri saya, malah sentiasa mencari masa untuk bersama beliau dan anak-anak,” katanya,
Pada masa sama, Azizan berkata beliau perlu sentiasa mempersiapkan diri untuk sentiasa ke hadapan dalam memikul tanggungjawab yang lebih besar.
Mengorbankam masa dan tenaganya untuk mendapatkan ilmu, strategi dan kajian terkini agar memberikan kelebihan persaingan buat usahawan di bawah bimbingannya. – MalaysiaGazette