Surat amaran yang dikongsi Cikgu Mohd Fadli di laman sosial.

KUALA LUMPUR – Malam tadi Menteri Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menerusi laman Facebooknya menyatakan hasrat mahu bertemu Cikgu Mohd Fadli Salleh bagi mengetahui lebih lanjut  perkara yang dibangkitkan oleh cikgu Matematik itu.

Dalam hantaran di laman Facebooknya, menteri berkenaan berkata:

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh.

“Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” katanya.

Ia berikutan pendedahan Mohd Fadli yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan (1) Gombak bahawa beliau berhadapan tindakan dibuang kerja atau diturunkan pangkat kerana menegur silibus Matematik diajar dalam tempoh tidak mencukupi.

Menjawab pelawaan Radzi itu, Mohd Fadli berkata, ramai wartawan menghubunginya berhubung isu tersebut namun beliau tidak dapat memberikan temubual kerana masih merupakan penjawat awam.

“Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin juga ada tag saya. Nak jumpa bincang isu yang saya sebut katanya

“Baru malam ni beliau respon sedangkan saya berkali-kali tag beliau sebelum ini, saya komen di post beliau, saya komen di page KPM merujuk pada beliau sejak bertahun lamanya. Tak pernah beliau respon walau sekali.

“Baru malam ini ada respon.

“Kenapa agaknya baru malam ini? Bukan masa saya dipanggil unit integriti tahun lepas? Bukan masa saya tag dan komen pada post beliau dan post KPM berkali-kali sejak bertahun lama?” soalnya.

Menurut Mohd Fadli, beliau jujur apabila bercakap tentang:

1. Beg berat bahaya pada anak-anak kita
2. Silibus tinggi dan padat. Silibus syok sendiri.
3. Bilangan murid yang ramai dalam kelas.
4. Subjek yang banyak murid belajar.
5. Masa belajar untuk subjek teras terutamanya Matematik tidak mencukupi.
6. Adanya Little Napoleon dalam sistem pendidikan menyebabkan sistem pendidikan kita rosak.

Dalam hantaran di laman Facebook itu juga, Mohd Fadli meminta ahli-ahli politik tidak menggunakan isu tersebut sebagai modal politik kalian.

“Umum tahu saya tak pernah berpolitik dan tak pernah mendaftar sebagai ahli mana-mana parti politik. Nak bantu sama-sama perjuangkan, silakan. Namun nak jadikan sebagai senjata dan modal politik, saya takkan bersama kalian,” katanya. – MalaysiaGazette