Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur, Arabath Ali Arul Alavundeen bercakap kepada media Malaysia Gazette mengenai Jentera Barisan Nasional (BN) PRU15 Parlimen Batu Peringkat Cawangan Komuniti di Dewan Masyarakat Taman Dato Senu, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) yang dijangka mempertaruhkan 70 peratus muka baharu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkemungkinan besar antara lain meletakkan calon dalam kalangan pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).

BN Parlimen Batu antara kawasan yang dijangka mempertaruhkan muka baharu dan individu yang lebih dikenali pengundi kerana kerja-kerja kebajikan dan kesukarelawan, lebih-lebih lagi ketika negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Lebih menarik lagi apabila sebuah NGO, Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur bersama lebih 30 pertubuhan di bawahnya sedia untuk menggerakkan jentera pilihan raya bagi membantu memenangkan BN di Parlimen Batu.

Pengerusinya, Arabath Ali berkata, mentaliti pengundi terhadap pilihan raya kali ini sangat berbeza berbanding dalam PRU14 pada 2018 susulan kegagalan Pakatan Harapan (PH) membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

“Mentaliti pengundi kali ini amat berbeza pada 2018, mereka sudah lalui tsunami politik, lepas itu mereka sedar apa kelemahan yang dibawa pembangkang.

“Sudah tiga kali Perdana Menteri bertukar ganti, ini menunjukkan kelemahan, tak dapat mentadbir selama lima tahun yang sepatutnya.

“Pengundi kali ini patut sedar kekurangan yang dialami oleh wakil rakyat sekarang dan memberi peluang kepada BN kembali berkuasa bagi menyelesaikan masalah rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette di Sentul, di sini, malam ini.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Arabath Kuala Lumpur, Arabath Ali Arul Alavundeen berbual bersama perwakilan di Dewan Masyarakat Taman Dato Senu, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 16 OKTOBER 2022.

Terdahulu Arabath hadir ke Majlis Pelancaran Jentera BN PRU15 Parlimen Batu Peringkat Cawangan/ NGO/ Komuniti.

Dalam pada itu, walaupun beliau aktif dalam NGO sehingga kini, namun pemimpin India Muslim itu sedia diangkat sebagai calon BN untuk merampas Parlimen Batu daripada Pakatan Harapan (PH).

“Saya sudah laksanakan lebih 250 misi bantuan, termasuk program kebajikan, pendidikan dan sosio ekonomi di Parlimen Batu.

“Sebagai ahli UMNO, jika diberi peluang, Insya-Allah saya akan berusaha untuk kemenangan Parlimen Batu dan berkhidmat untuk masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast