BUTTERWORTH – UMNO Pulau Pinang membawa usul Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya BN kekal sebagai kerajaan selepas Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, usul berkenaan dikemukakan semua bahagian UMNO di negeri ini pada mesyuarat perkawakilan yang telah diadakan hari ini.
“Usul itu selaras dengan ketetapan yang dicapai pada Perhimpunan Agung Khas serta keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini yang dicadangkan sendiri presiden parti.
“Kita juga membawa usul agar parti terus menjaga keharmonian hubungan, solidariti dan kesatuan fikrah perjuangan antara Perdana Menteri, Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan seluruh barisan kepimpinan di setiap peringkat dalam menghadapi PRU15.
“Selain itu, perwakilan turut membawa usul agar pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam dakwaan-dakwaan Buku Bertajuk”My Story: Justice In The Wilderness”, ditulis bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di sini, hari ini. – MalaysiaGazette