Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – UMNO Wilayah Persekutuan mahu semua jenteranya yang turut melibatkan sayap parti menjalinkan hubungan erat dengan pengikut serta penyokong Pas di akar umbi.

Pengerusinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, walaupun Pas tidak lagi bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN), pengikut dan penyokong parti itu di bawah tidak bersalah.

“Dalam isu MN, yang bersalah dan ada masalah ialah pemimpin Pas, pengikut serta penyokongnya tidak ada masalah. Di akar umbi, majoriti lebih suka kalau parti mereka bersama UMNO dalam MN, bukan bersama Perikatan Nasional (PN).

“Oleh itu, saya nak semua jentera kita menjalin hubungan yang erat dengan rakan mereka ini,” katanya pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Titiwangsa Kali ke-37 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi UMNO Titiwangsa berkata, sepanjang bersama, Pas boleh menggunakan semua kemudahan yang ada di WTC untuk urusan parti, hingga satu ruang pejabat di bangunan itu diberikan percuma.

Malah, katanya, sepanjang tempoh itu juga, jumlah derma yang Pas kutip dalam siri ceramah MN meningkat berganda, tetapi di akhir hala tuju, parti itu lebih teruja dengan Bersatu berbanding UMNO.

Menurut Johari, baiknya UMNO kepada Pas terbukti melalui pelawaannya kepada parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu agar bersama bertanding di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas nama MN.

Namun, katanya, Pas menolak pelawaan itu dan mahu bersama parti Bersatu melalui PN yang menggunakan warna biru seperti Barisan Nasional (BN).

“Keputusannya, Pas kalah di semua kerusi yang dipertandingkan dan kemenangan mutlak berpihak kepada UMNO dan BN.

“Dalam setiap usaha pemuafakatan, UMNO sentiasa ikhlas dan jujur terutama dalam menghulurkan tangan untuk bertaut. Kita tidak cakap di depan lain, di belakang lain apabila berjanji dengan kawan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan mana-mana ahli UMNO yang mahu menyertai parti itu untuk mencari kekayaan, agar melupakan hasrat berkenaan.

Sebaliknya, kata beliau, jika mahu kaya, mereka perlu terlibat dalam bidang perniagaan, bukan parti.

“Saya nak nasihat jangan masuk parti untuk cari kekayaan. Kalau nak kaya buat perniagaan. Kita kena ada disiplin, kena ada keperibadian kerana kalau berlaku kepada seorang pemimpin, akan berlaku pada semua sebab apa yang kita buat itu melambangkan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette