tanah runtuh
Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dituduh membuat dakwaan kabur tanpa bergantung fakta apabila menyatakan Selangor merosot selepas beliau meninggalkan negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebenarnya sejak Mohamed Azmin meninggalkan Selangor, prestasi ekonomi negeri itu meningkat baik.

Sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Selangor kepada Malaysia meningkat, malah program-program kebajikan kepada rakyat juga bertambah.

“Selangor makmur bukan hasil kejayaan seorang individu sahaja tapi usaha berpasukan,” katanya menerusi Twitter.

Lantaran itu, katanya, Azmin jangan perasan atau syok sendiri.

Amirudin mengulas dakwaan Azmin bahawa prestasi Selangor merosot selepas meninggalkan Pejabat Menteri Besar pada 2018.

“Lepas saya tinggal (jawatan menteri besar) nampak merosot prestasi (Selangor).

“Jadi tanggungjawab saya mahu mengekalkan kecemerlangan Selangor supaya Selangor akan terus membangunkan memberi manfaat semua rakyat Selangor dan kita dapat menjalin satu kerjasama baik dengan kerajaan negeri dan persekutuan,” kata Mohamed Azmin  yang dilaporkan oleh Astro Awani.

Dalam ciapan yang sama, Amirudin turut berkongsi graf sumbangan KDNK Selangor yang meningkat berperingkat-peringkat kepada 24.8 peratus pada 2021 berbanding 23.2 peratus ketika Mohamed Azmin menjadi menteri besar pada tahun 2017.

Prestasi itu hampir suku daripada sumbangan kepada KDNK negara.

Pada tahun lalu, sektor pembuatan negeri Selangor merekodkan 32 peratus daripada KDNK tertinggi di Malaysia.

Selangor juga mencatatkan 26 peratus KDNK dalam sektor perkhidmatan, juga tertinggi Malaysia. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tiba-tiba sahaja Azmin ambil berat tentang Selangor – Wei Kiat