Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – PKR menempelak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang didakwa prihatin secara tiba-tiba terhadap keadaan negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Tambah Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat, dakwaan mengenai prestasi Selangor merosot selepas bekas Timbalan Presiden PKR itu tidak lagi menjadi Menteri Besar di negeri itu ternyata tidak benar.

Sebaliknya, beliau berkata, bekas Menteri Besar Selangor itu hanya mahu mengaburi mata rakyat  dengan membuat dakwaan berkenaan demi memancing undi untuk Perikatan Nasional (PN).

“Selepas pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri pada 10 Oktober yang lalu, bekas Menteri Besar Selangor, Azmin Ali tiba-tiba mengambil berat keadaan negeri Selangor di bawah pimpinan PH.

“Sekiranya prestasi Selangor merosot, bagaimana kerajaan PH Selangor berjaya melaksanakan empat program besar sewaktu dan selepas negara dilanda Covid?” soalnya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Wei Kiat, antara inisiatif Selangor adalah menggunakan RM127 juta untuk melaksanakan SELVAX bagi program vaksinasi selain melaksanakan program Manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) dengan memberi sebanyak RM3,600 setahun atau pun RM300 sebulan kepada setiap isi keluarga yang berkelayakan pasca Covid-19.

“Dan terkini, kerajaan negeri sedang laksanakan Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) bertujuan memberi perlindungan insurans kepada enam juta rakyat Selangor. Selangor masih mempunyai kewangan kukuh dan stabil walaupun pelbagai inisiatif dan program telah dijayakan, tidak seperti kerajaan pusat yang meningkatkan hutang sebanyak RM1.36 trillion pada tahun ini sahaja. Jelas perbezaan antara kerajaan bersih dan mat sakau,” tambah beliau.

Semalam, Azmin yang juga Naib Presiden Bersatu, mendakwa prestasi negeri Selangor semakin merosot selepas beliau meninggalkan jawatan Menteri Besar negeri itu pada 2018.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, kerjasama baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu dijalin oleh pentadbiran Selangor.

Wei Kiat yang juga Ahli Undangan Negeri Rawang mengingatkan supaya Azmin supaya tidak membuat tuduhan melulu.-MalaysiaGazette