Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim melihat dadah yang berjaya ditumpaskan dalam sindiket pengedaran dadah dengan rampasan 213kg syabu serta 33kg pil erimin 5 yang bernilai RM10 juta ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan pil eramin 5 berjumlah RM10.1 juta dalam serbuan ke atas sebuah inap desa dan kondominium di Bandar Damai Perdana, Kajang pada 13 Oktober lalu.

Polis turut memberkas dua lelaki yang disyaki berperanan menjaga inap desa tersebut hasil penahanan lima individu, termasuk seorang warga China bersama bekalan syabu berjumlah RM1.3 juta pada Selasa lepas menerusi Operasi Leslie.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, berikitan itu satu lagi Operasi Leslie dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur di Selangor dan ibu negara pada Khamis lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim bercakap kepada media mengenai kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan 213kg syabu serta 33kg pil erimin 5 yang bernilai RM10 juta ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 OKTOBER 2022.

“Dalam serbuan pertama di hadapan sebuah restoran di kawasan Desa Sri Hartamas dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun.

“Serbuan kedua ke atas sebuah kereta Toyota Altis hadapan pos pengawal sebuah taman perumahan di Bandar Damai Perdana, Kajang membawa kepada suspek kedua lelaki tempatan berusia 38 tahun,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Azmi, penahanan dua individu tersebut membawa kepada serbuan di sebuah kediaman di Bandar Damai Perdana, Kajang dan rampasan 206 bungkusan teh Cina berisi dadah jenis syabu seberat 213 kilogram bernilai RM7.5 juta dan 112,000 biji pil Erimin 5 seberat 33 kilogram serta wang tunai berjumlah RM70,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan kekasih edar dadah jenis ‘mushroom’ diberkas polis

Tambah beliau, rampasan dadah tersebut dianggarkan bernilai RM10.1 juta dan boleh digunakan oleh lebih 538,000 penagih atau pengguna dadah.

Jelas beliau, ujian saringan ke atas kedua-dua suspek disahkan positif methaphetamine dan semakan mendapati suspek memiliki tiga rekod kesalahan jenayah lampau berkaitan dadah dan imigresen.

Wang tunai yang berjaya dirampas oleh pihak polis dalam sindiket pengedaran dadah dengan rampasan 213kg syabu serta 33kg pil erimin 5 yang bernilai RM10 juta ketika di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 OKTOBER 2022.

Azmi berkata, dadah yang dirampas adalah untuk pasaran Lembah Klang dan sindiket tersebut telah aktif sejak dua bulan lalu.

“Siasatan polis mendapati kedua-dua suspek telah menyewa rumah homestay itu dengan bayaran RM230 sehari dan dijadikan setor menyimpan bekalan dadah tersebut dan dijaga sepanjang masa.

“Selepas seminggu dua sindiket berkenaan akan beralih pula ke rumah homestay lain bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu oleh polis.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 20 Oktober ini bagi membantu siasatan. -MalaysiaGazette