Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman (tengah) menunjukkan antara rampasan pada sidang media berkenaan kejayaan menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan pembongkaran makmal dadah haram memproses mushroom bernilai RM2.8 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sepasang kekasih ditahan bersama 57 kilogram (kg) dadah dikenali sebagai ‘mushroom’ yang dianggarkan dalam serbuan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini, Selasa lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman berkata, risikan polis mendapati pasangan itu mendapatkan bekalan dadah melalui laman web gelap negara jiran sebelum diproses di kondominium tersebut menjadi rokok dan cecair vape.

“Hasil serbuan, polis berjaya menahan pasangan kekasih itu di lobi kondominium itu sebelum merampas dadah jenis ‘mushroom’ seberat satu kilogram.

“Kemudian polis membawa pasangan itu ke sebuah unit rumah di kondominium berkenaan yang dijadikan makmal memproses dadah.

“Hasil pemeriksaan di dalam unit yang disewa antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan itu berjaya menemui beberapa guni dadah jenis ‘mushroom’ seberat 57 kilogram (kg), dadah jenis ganja (17.7 gram), serbuk proses dadah (2.9 kg), 23 botol cecair vape mengandungi dadah, 27.8 liter cecair kimia dan pelbagai peralatan memproses dadah,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media mengenai Operasi Grace di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Yahaya, sebatang rokok ‘mushroom’ dijual pada harga antara RM100 hingga RM150 dan bagi pelanggan di luar Lembah Klang ia dijual menerusia dalam talian da ia dihantar kepada pelanggan dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, DCP Datuk Yahaya Othman menunjukkan dadah jenis mushroom pada sidang media berkenaan kejayaan menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan pembongkaran makmal dadah haram memproses mushroom bernilai RM2.8 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 OKTOBER 2022.

Tambah beliau, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM300 dan keseluruhan rampasan itu dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket didalangi pasangan berkenaan aktif melakukan aktiviti itu sejak tiga bulan lalu dan disyaki mempelajari cara memproses dadah Mushroom serta cecair vape mengandungi dadah itu melalui online,” ujarnya

Kedua-dua suspek berusia 29 dan 30 tahun yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Diploma Pengurusan Hotel dari universiti tempatan kini direman selama tujuh hari sehingga 18 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Yahaya berkata, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menahan lima suspek, termasuk seorang wanita warga China, berusia lingkungan antara 28 hingga 60 tahun itu apabila memeriksa sebuah kereta dan menyerbu sebuah kondominium di Taman Desa, di sini, pada hari yang sama.

Antara rampasan mushroom hasil kejayaan pihak polis menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah jenis syabu dan pembongkaran makmal dadah haram memproses mushroom bernilai RM2.8 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 OKTOBER 2022.

“Hasil pemeriksaan di dalam unit kondominium suspek berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 35 kilogram bernilai RM1.3 juta.

“Kesemua suspek itu termasuk wanita asing warga emas itu positif pelbagai jenis dadah manakala empat lelaki mempunyai tujuh rekod jenayah lampau,” katanya.

Yahaya berkata, dadah jenis syabu itu diperoleh suspek dari negara jiran di utara semenanjung dan bekalan dadah itu diedar di Lembah Klang.

Tambah beliau, kesemua suspek telah ditahan reman dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette