Dua lelaki termasuk remaja bawah umur maut dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Sungai Petani, Kedah hari ini.

SUNGAI PETANI – Dua lelaki termasuk seorang remaja bawah umur maut dalam kemalangan membabitkan empat motosikal di Kilometer 111.3  Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan hari ini.

Mangsa, Ahmad Aiman Abdul Rasheed, 16, dan rakannya Muhammad Haziq Hazri Sham, 19 tahun dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala serta anggota badan.

Kejadian jam 12.59 tengah malam itu turut mengakibatkan dua lagi rakan mereka mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, hasil siasatan mendapati keempat-empat penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari Sungai Petani menghala ke Butterworth.

Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kata beliau, bagaimanapun dalam perjalanan itu mereka bergesel sesama sendiri sebelum hilang kawalan dan terbabas di atas lebuh raya tersebut.

“Mangsa bawah umur menunggang motosikal jenis Yamaha 125z manakala rakannya pula menunggang Yamaha Y15 maut di lokasi kejadian akibat kemalangan tersebut.

“Manakala dua lagi rakan mereka yang masing-masing berusia 18 dan 19 tahun pula mengalami kecederaan dan dilaporkan menerima rawatan di Hospital Sultan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah beliau, kesemua mereka dipercayai menunggang motosikal dengan laju dalam jarak dekat sesama sendiri hingga menyebabkan hilang kawalan.

“Selain itu, semakan juga mendapati mangsa bawah umur itu tidak mempunyai lesen memandu.

“Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk proses bedah siasat,” kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette