MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melihat semula laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) lori yang didakwa menjadi punca nahas kemalangan di Sedenak, Johor pada Sabtu lalu.
Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, ia termasuklah sekiranya ada kemungkinan berlaku kekurangan dalam aspek pematuhan audit berkenaan yang sepatutnya tidak berlaku.
“Sebenarnya banyak benda perlu dilihat dari segi proses JISA untuk memastikan mereka yang terlibat dalam kemalangan itu akhirnya dia (lori) melalui pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) itu bila.
“Kemudian dari segi struktur binaan kenderaan itu sendiri, memenuhi tak JISA JPJ dan jika ada lack (kekurangan) mana-mana berkenaan teknikal, tindakan susulan akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ulang Tahun Ke-20 Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia (APJM) di Tiang Dua, Ayer Molek di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah APJM, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff
Sebelum ini, tular video menyayat hati rintihan seorang suami memaklumkan isterinya berada di dalam kenderaan yang sedang terbakar dalam kemalangan ngeri kira-kira pukul 7.45 malam pada Sabtu lalu.
Kejadian di Kilometer 45.7 Lebuhraya PLUS dekat Sedenak itu mengakibatkan Nurul Nazihah Kamalul Arifin, 28, dipercayai tersepit di tempat duduk penumpang hadapan sementara suaminya berjaya ditarik keluar dari kereta oleh orang awam.
Nahas dipercayai berpunca daripada sebuah lori treler yang tiba-tiba merempuh beberapa buah kenderaan dari belakang ketika kesesakan lalu lintas menyebabkan dua maut manakala empat lagi terselamat dalam kemalangan empat kenderaan itu. – MalaysiaGazette.