Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bercakap kepada media selepas sesi pengenalan sukan Touch bersama jurulatih ternama, Peter Walters di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 16 (1), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 17 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Keputusan mesyuarat Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan yang bersidang hari ini akan disampaikan kepada Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh esok.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, keputusan berkenaan akan disampaikan kepada guru tersebut menerusi Ketua Jabatan.

“Persidangan atau mesyuarat Lembaga Tatatertib baru tamat sebentar tadi dan esok pihak urus setia Lembaga Tatatertib akan menyampaikan keputusan mesyuarat kepada Cikgu Fadli melalui Ketua Jabatan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas hadir sesi pengenalan sukan Touch bersama jurulatih ternama Peter Walters di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Precint 16(1), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohd Fadli mendakwa beliau akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana menyuarakan isu sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas kepada Pejabat Pendidikan daerah (PPD)

Dalam pada itu Radzi memberitahu, beliau belum menerima maklum balas daripada guru berkenaan akan bertemu dengannya atau sebaliknya. 

Menurut beliau, antara isu-isu yang telah dibangkitkan oleh Mohd Fadli telah diselesaikan seperti masalah beg berat.

Namun Radzi berkata, beliau telah beberapa kali menyatakan bahawa isu silibus sedang dikaji oleh kementerian berkenaan.

“Apa yang saya ingin jelaskan perkara berkaitan silibus sebagai contoh, silibus yang digunakan hari ini adalah yang diperkenalkan pada 2017, pendekatannya dibina sebelum itu lagi. Perhincangan untuk silibus ini dibincang sebelum 2017 tahun itu baru digunakan.

“Silibus ini juga disediakan oleh guru-gueu yang berkepakaran dalam bidang masing-masing, jadi sebab itu kita menghargai.

“Sejujurnya kita menghargai segala pandangan yang diberikan berkaitan silibus, pandangan daripada ibu bapa, guru dan semua pihak,” tambah beliau.

Sementara itu, Radzi mengingatkan ahli politik supaya tidak mempolitikkan isu silibus pendidikan. – MalaysiaGazette