JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan tiga penandaan logo baharu Barangan Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penambahbaikan logo itu merangkumi peluasan kategori logo kepada Produk Malaysia, Buatan Malaysia dan Rekaan Malaysia.

Katanya, ketiga-tiga logo baharu Barangan Malaysia itu diperkenalkan bagi memberi peluang kepada lebih banyak syarikat untuk memohon dan mendapat pengiktirafan penandaan logo barangan tempatan.

“Tiada bayaran dikenakan terhadap mana-mana pengusaha produk tempatan yang memohon untuk menggunakan tiga logo berkenaan dan penggunaannya adalah secara sukarela.

“KPDNHEP akan menguatkuasakan penandaan tiga logo baharu ini bermula 1 November ini pada yang berminat.

“Tiga logo Barangan Malaysia ini memberi nilai tambah dan jaminan kualiti terhadap produk keluaran tempatan kerana penggunaannya perlu melalui prosedur dan tidak diberikan sewenang-wenangnya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) sempena Karnival Beli Barangan Malaysia 2022 di pekarangan Angsana Mall Johor Bahru baru-baru ini.

Alexander Nanta berkata, logo Buatan Malaysia sebelum ini sememangnya sudah popular dan diterima baik dalam kalangan pengguna malah ia turut mendapat maklum balas positif

“Dengan pelancaran tiga logo baharu ini kita harap identiti produk tempatan akan lebih dikenali lagi,” katanya. – MalaysiaGazette