PUTRAJAYA – Perbincangan di antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Pas berhubung pembahagian 27 kerusi Parlimen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka selesai tidak lama lagi.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin, apa yang penting ialah Perikatan Nasional (PN) menang pada pilihan raya itu.
“Seperti mana yang disebutkan oleh kepimpinan termasuk Pengerusi PN bahawa perbincangan sedang dilaksanakan insyallah akan dapat dimuktamadkan dalam masa yang terdekat,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau selaku Menteri Kanan Pendidikan ditemui di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Precint 16(1) bagi menghadiri sesi pengenalan sukan Touch bersama jurulatih ternama Peter Walters di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Precint 16(1), di sini.
Mengulas lanjut Radzi berkata, tumpuan PN pada pilihan raya kali ini adalah mendokong usaha Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menang.
Beliau yakin, hala tuju gabungan parti politik itu akan lebih tersusun kelak dengan pelapis yang akan mampu memimpin sekiranya Muhyiddin tidak lagi menjadi Pengerusi.
“Jadi sebab itu apa yang penting untuk kita mendokong Pengerusi PN dalam menghadapi PRU15 selepas itu kita yakin PN tersusun, mempunyai pelapis kepimpinan amat baik untuk membawanya ke tahap seterusnya,” tambahnya.
Muhyiddin pernah menyatakan bahawa PRU15 merupakan gelanggang terakhir baginya sebagai ahli politik. – MalaysiaGazette