Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya . Foto HAFIZ SOHAIMI,07 OGOS 2021.

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan yang berlaku di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis yang menerima laporan mengenai insiden itu pada jam 8.38 pagi hari yang sama melakukan siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Susulan aduan itu, pada hari ini jam lebih kurang 3.30 petang terkesan satu video berdurasi satu minit enam saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun twitter NanManjoi8715.

“Dalam video itu memaparkan kejadian pergaduhan melibatkan sekumpulan individu di tepi jalan berhadapan sebuah premis di Jalan Yap Kwan Seng, ibu negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette