KUALA LUMPUR – Kebenaran bagi meluluskan Projek Pelebaran Persimpangan Masuk ke bandar Kluang melalui Jalan Mersing – Jalan Mengkibol bukan di bawah bidang kuasa Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

RAC membuat kenyataan itu bagi menjawab isu pelebaran persimpangan masuk yang telah dibangkitkan oleh Chew Chong Sin, Ahli Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol.

Menurutnya, walaupun kawasan yang terlibat dengan cadangan pelebaran persimpangan tersebut merupakan tanah rizab kereta api yang terlibat dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru (PLBE-GJB), tetapi kebenaran bagi melaksanakan projek itu perlu dirujuk dengan Kementerian Kerja Raya (KKR).

RAC yang diwakili Pengurus Besar, Adam Abu Hanipah telah mengadakan lawatan tapak bersama-sama Chew pada 24 Mei 2022 bagi mengenal pasti keluasan kawasan yang terlibat, keadaan utiliti, perparitan dan lain-lain kemudahan sedia ada serta lokasi struktur-struktur Lintasan Rata Awam di kawasan tersebut.

Lawatan tersebut turut dihadiri wakil daripada Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kluang dan juga kontraktor bagi projek PLBE-GJB, SIPP-YTL.

Dalam lawatan tersebut, pihak SIPP-YTL memaklumkan sedia membantu JKR Daerah Kluang dalam mengenal pasti impak dan item-item yang terkesan bagi cadangan pelebaran jalan termasuk sempadan kawasan rizab RAC dan struktur pier projek PLBE-GJB.

Sehubungan itu, RAC menyarankan agar kelulusan daripada KKR diperoleh terlebih dahulu sebelum projek tersebut dapat diteruskan.

Sebagai pemilik aset, RAC tiada halangan untuk membenarkan tanah rizab kereta api digunakan bagi tujuan pelebaran persimpangan jalan berkenaan kerana cadangan tersebut akan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Mersing – Jalan Mengkibol yang merupakan laluan masuk utama ke bandar Kluang.

Namun begitu, peruntukan bagi menyediakan naik taraf ini perlu dipohon oleh Chew dan kerja-kerja penyelenggaraan persimpangan jalan tersebut kelak perlu dilaksanakan oleh JKR.

Dalam hal ini, MPK perlu bertanggungjawab ke atas penyenggaraan aksesori jalan dan pengindahan kawasan berkenaan apabila projek naik taraf tersebut siap.

RAC selaku agensi di bawah Kementerian Pengangkutan sentiasa menyokong usaha-usaha bagi menambah baik infrastruktur awam demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette