Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas Majlis Peyerahan Projek Pusat Kardiologi Hospital Serdang di Hospital Serdang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 17 OKTOBER 2022.

SERDANG – Pusat Kardiologi Hospital Serdang yang merupakan pusat jantung pertama di negara ini akan memulakan operasinya pada 12 Disember ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pembukaan pusat itu akan membolehkan Hospital Serdang kini memiliki kemudahan jantung invasif terbesar di rantau Asia Tenggara berikutan kemampuan meningkatkan prosedur jantung dari 35,000 kepada 60,000 prosedur setahun.

Beliau berkata, pusat itu juga akan dapat mempercepatkan proses rawatan pesakit dan tempoh menunggu bagi rawatan angiogram atau pengimejan saluran arteri.

“Pengoperasian pusat kardiologi ini akan memendekkan tempoh menunggu daripada 18 bulan kepada hanya sembilan bulan bagi kes elektif yang stabil, manakala rawatan kes kecemasan diberi serta merta.

“Fasiliti kesihatan dengan kos keseluruhan RM546 juta idilengkapi dengan dewan bedah hybrid iaitu yang pertama seumpamanya dalam fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan memberi manfaat kepada hingga 250 pesakit setahun,” katanya pada majlis penyerahan fasiliti itu oleh Jabatan Kerja Raya ke KMM di sini hari ini.

Khairy menambah, Hospital Serdang kini menjadi pusat rujukan rawatan jantung bagi Wilayah Tengah dan kes jantung kompleks dari seluruh negara dengan lebih 40,000 pesakit luar dan 12,000 rawatan invasif, termasuk angiogram serta angioplasti koronari setahun.

Menurut beliau, dengan adanya bangunan baharu ini, perkhidmatan jantung di Hospital Serdang mampu menerima dua kali ganda jumlah pesakit.

“Kemudahan dewan bedah itu turut dilengkapi dengan peralatan canggih membolehkan kes-kes kompleks yang memerlukan kepakaran pakar bedah dan jantung, dilaksanakan dalam tempat yang sama,” katanya.

Khairy berkata, pusat kardiologi satu blok setinggi lapan tingkat itu, selain menempatkan 262 katil ia juga dilengkapi dengan seunit mesin MRI 3.0 Tesla khusus bagi pengimejan diagnostik jantung, yang memberi imej empat kali lebih jelas berbanding mesin MRI biasa.

Beliau berkata, sebuah Makmal Jantung Invasif (ICL) di Jabatan Kecemasan (ED) yang setanding dengan negara maju pula, membolehkan kes-kes serangan jantung akut menerima rawatan segera dan terbaik.

“Pusat jantung itu akan beroperasi sepenuhnya di bawah KKM dan ia bukan sahaja mampu merawat lebih ramai pesakit jantung dari seluruh negara, malah menjadi fasiliti latihan kepada ramai pakar perubatan kardiologi,” katanya. – MalaysiaGazette