Dua petugas SPR membuat kerja-kerja persiapan terakhir menjelang undi awal sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 11 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga buah negeri telah memaklumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini.

Berikutan itu, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, satu mesyuarat akan diadakan bagi menentukan tarikh PRU bagi ketiga-tiga negeri berkenaan.

“Penetapan tarikh-tarikh penting pilihan raya bagi ketiga-tiga negeri ini akan dibincangkan serentak dalam Mesyuarat
Khas SPR yang akan diadakan pada 20 Oktober 2022,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Dalam kenyataan medianya, SPR memaklumkan pihaknya menerima surat pemakluman berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Perlis dan Perak.

DUN Pahang dan Perlis dibubarkan pada 14 Oktober lalu manalaka DUN Perak dibubarkan pada hari ini.

Enam negeri tidak mengikuti pembubaran Parlimen yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu.

Negeri itu adalah Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang diperintah Pakatan Harapan (PH) dan Kedah, Kelantan serta Terengganu yang diperintah oleh Pas. – MalaysiaGazette