Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Reading Progress ketika di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bersedia dan terbuka sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadapnya bersabit dakwaan penyelewengan berkaitan Surat Setuju Terima (SST) untuk kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan.

Katanya, selaku peneraju kementerian, tumpuan utamanya adalah memastikan imej KPM terjaga dan menerima kepercayaan dari rakyat.

“Kami di KPM telus, jadi bila ada yang hantar mesej kepada saya kata Radzi terlibat dalam penyelewengan, saya maklumkan Ketua Setiausaha (KSU) untuk let SPRM in.

“Kami terbuka, tidak ada apa yang saya nak khuatirkan sebab itu KSU telah mengambil tindakan seperti mana yang diarahkan sebab kita nak pastikan imej KPM baik. Mesej kita setiap sen duit rakyat mesti dikembalikan kepada rakyat sangat mudah.

“Saya berada di sini menjalankan khidmat negara. Saya tidak ada tujuan lain, ada tuduhan SPRM pergilah siasat apa yang ada di sana (KPM),” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada dakwaan bekas ahli UMNO, Zaharin Yassin di laman sosial semalam mengatakan Radzi terlibat dalam penyelewengan berkaitan SST untuk kontrak bekalan makanan bermasak serta kebersihan bangunan dan kawasan.

Zaharin dalam video ringkasnya sebelum ini mendakwa telah dimaklumkan mengenai penyelewengan di KPM di mana pihak yang mendapat SST diminta memberikan komisen empat hingga lima peratus kepada individu tertentu di kementerian untuk dana politik.

Video itu turut dimuat naik oleh Radzi bersama hantaran kenyataannya di laman Facebook.

Zaharin turut memetik nama Radzi dan ‘budak-budaknya’ serta KSU terlibat dalam penyelewengan tersebut.

Susulan itu, Menteri Kanan Pendidikan tersebut mengarahkan KSU untuk membuat laporan SPRM. – MalaysiaGazette