Penerima Anugerah Tokoh Akademia TVET, Datuk Imran Idris bercakap kepada media selepas Majlis Anugerah Akademia POLYCC 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – DNA politeknik dan kolej komuniti perlu dikekalkan agar kebolehpasaran graduan dalam sektor perindustrian di negara ini terus mendapat permintaan tinggi.

Bekas Ketua Pengarah Pertama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Datuk Imran Idris berkata, pada masa ini terdapat banyak institusi pendidikan awam dan swasta yang tumbuh seperti cendawan, sekaligus menyebabkan jumlah garduan meningkat sehingga berlaku persaingan dalam industri pekerjaan.

“Politeknik telah lama wujud sejak tahun 1969, jadi saya merasakan pengiktirafan masyarakat pada sistem politeknik seharusnya kekal sampai bila-bila sebab kita sebagai peneraju sistem TVET, di Malaysia.

“Jadi ini satu cabaran bagi semua pensyarah pada masa ini bahawa dengan banyak persaingan dengan institusi luar maka kita seharusnya lebih relevan daripada institusi yang baru muncul.

“Saya juga lihat sistem politeknik kini banyak perubahan dari segi kualiti telah diterapkan dalam pembelajaran di politeknik disebabkan itu berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa Dublin Accord.

“Jadi dengan adanya pengiktirafan itu maka semua pelajar kita keluarkan politeknik dan kolej komuniti boleh bekerja di negara luar yang menjadi signitori Dublin Accord, ia merupakan satu kemajuan yang baik sejak dahulu hingga sekarang,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts Zainab Ahmad (tengah) menyampaikan anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Akademia TVET, Datuk Imran Idris pada Majlis Anugerah Akademia POLYCC 2022 di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor. Foto FAREEZ FADZIL, 18 OKTOBER 2022.

Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah Tokoh Akademia 2022 pada Majlis Anugerah Akademia POLYCC peringkat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti 2022 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Imran berharap jalinan kerjasama antara politeknik dan Kolej Komuniti bersama pihak industri di negara ini dapat diwujudkan dengan lebih erat terutama dalam perindustrian Keempat (4IR) atau Industri 4.0.

“Kalau boleh apa sahaja yang dikehendaki industri, dapat disediakan oleh politeknik dan kolej komuniti. Kalau akan kita dapat lakukan perkara ini dengan barisan pensyarah yang mempunyai kaliber.

“Saya rasa keadaan ini akan mewujudkan suasana yang mana industri kita tidak akan ketandusan pekerja-pekerja yang dikehendaki dalam Industri 4.0.

“Itulah harapan saya, mereka harus meningkatkan kemahiran dan hubungan dengan industri kerana industri lah antara pihak yang akan menggunapakai keluaran sistem politeknik dan kolej komuniti di negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast