Muhammad Hilman Idham

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bahawa prestasi ekonomi negeri itu lebih baik masa kini adalah sesuatu yang dangkal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham mendakwa kenyataan Amiruddin tidak realistik dan menyifatkan ia sesuatu yang delusional.

“Dakwaan prestasi ekonomi baik dengan semata-mata merujuk kepada angka sumbangan Negeri Selangor kepada KDNK negara adalah cubaan yang dangkal dan meleset.

“Hakikatnya, pertumbuhan Negeri Selangor meleset dari tahun ke tahun sejak 2018 sehinggalah hari ini biarpun sebelum berdepan pandemik,” kata Hilman.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Selangor itu merujuk kepada kenyataan Amiruddin dimana berkata, sejak bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin meninggalkan Selangor, prestasi ekonomi negeri itu terus menunjukkan peningkatan baik.

Artikel berkaitan: Azmin jangan perasan, Selangor sekarang lebih baik tanpanya – MB

Tiba-tiba sahaja Azmin ambil berat tentang Selangor – Wei Kiat

Amiruddin mengeluarkan kenyataan tersebut menjawab Azmin mendakwa prestasi negeri itu merosot selepas dia meninggalkan Pejabat Menteri Besar pada 2018.

Dalam pada itu, Hilman berkata pada tahun 2018, pertumbuhan ekonomi Selangor dicatatkan pada kadar 7.0 peratus.

Malah menurut Hilman lagi, kadar pertumbuhan Selangor merosot kepada 6.8 peratus pada tahun 2019 dan terus merosot akibat pandemik pada tahun 2020 pada kadar -5.2 dan hanya 5.0 peratus pada 2021.

“Sudah menjadi resam dalam kepimpinan Amirudin Shari untuk seringkali mengaburi mata rakyat agar teruja dengan angka-angka yang besar. Sikap ini menjadikan kepimpinan Negeri delusional dan tidak realistik dalam banyak perkara.

“Misalnya, matlamat Rancangan Selangor Pertama (RS-1) untuk menyumbang 30% daripada KDNK negara. Sasaran ini sangat tidak realistik memandangkan Selangor perlu mencatatkan pertumbuhan secara “compounded annual growth rate” atau CAGR sekurang-kurangnya 9.5 peratus setiap tahun khususnya dalam suasana ekonomi hari ini.

“Justeru, wajarlah Amirudin Shari mencermin diri terlebih dahulu sebelum mendabik dada sebegitu. Realitinya, beliau sendiri terperangkap dalam bayangan prestasi kepimpinan sebelumnya sehingga terpaksa berhempas pulas melakukan penjenamaan semula terhadap pelbagai program-program kebajikan rakyat demi memadam dan menghentikan rekod dan prestasi kejayaan Negeri Selangor tatkala pentadbiran Azmin,” katanya lagi.

Amirudin yang menggantikan Azmin pada 2018 turut berkongsi graf menunjukkan sumbangan KDNK Selangor meningkat berperingkat sehingga 24.8 peratus pada 2021 daripada 23.2 peratus ketika Azmin masih di pejabat menteri besar pada 2017.

Sumbangan Selangor bagi sektor pembuatan yang merekodkan 32 peratus daripada KDNK pada 2021 juga tertinggi dalam kalangan negeri lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast