PH judi
Idris Ahmad

SHAH ALAM – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengajak semua umat Islam bersatu hati, bukan bertelagah sesama sendiri yang merugikan masa depan ummah.

Beliau berkata, bagi murabbi ummah atau golongan pendidik pula perlu berperanan menjadi jurubicara sebagai jambatan perpaduan dengan konsep iman dan takwa.

“Marilah kita perteguhkan kesatuan fikrah, kesatuan amal yang dianjurkan Islam, bukan menyemarakkan perpecahan di kalangan sesama sendiri.

“Dalam konteks inilah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membangunkan dakwah, termasuk melaksanakan beberapa inisiatif yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis Multaqa Murabbi Ummah peringkat Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Program anjuran bersama Jakim dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut Idris, kerajaan menerusi jabatannya, sentiasa menghargai usaha yang dilakukan oleh para murabbi ummah dalam menyebarkan ilmu dan kefahaman Islam kepada masyarakat.

Katanya, bagi memperkasakan peranan itu, kerajaan menambah 1,000 kuota guru takmir di seluruh negara menjadikan setakat ini 5,000 orang dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM54 juta setahun.

Selain itu, kata beliau, kerajaan juga meneruskan bayaran one-off RM500 tahun ini kepada 2,420 orang melibatkan imam, bilal, siak dan guru takmir di seluruh Selangor dengan peruntukan RM1.210 juta.

“Bayaran ini sebagai menghargai sumbangan mereka dalam mengimarahkan masjid khusus di Selangor, yang mana bayaran khas ini telah disalurkan sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Tidak cukup dengan itu, kerajaan turut membuat caruman sebanyak RM232.80 setiap mereka di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) dengan peruntukan RM563,376,” katanya.

Bagi guru KAFA, beliau berkata, kerajaan sememangnya menghargai sumbangan mereka dalam membentuk generasi dengan menyalurkan bayaran bantuan khas tahun ini sebanyak RM1.4 juta kepada 2,800 guru.

Ujar beliau, jabatannya melalui Jakim bersama agensi pusat dan pihak berkuasa agama Islam negeri dari semasa ke semasa berusaha semaksimum mungkin untuk menambahbaik pengurusan KAFA melibatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, termasuk aspek kebajikan guru serta murid. – MalaysiaGazette