CONNECTICUT – Seorang budak lelaki berusia 10 tahun diserang seekor beruang hitam ketika bermain di kebun datuknya di Amerika Syarikat.
Pegawai polis Connecticut berkata, haiwan itu kemudian cuba mengheret kanak-kanak itu pergi sebelum ditembak oleh pegawai polis.
Mangsa kemudiannya dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan di bahagian paha, kesan cakar di bahagian belakang badan dan gigitan di buku lalinya.
James Butler, datuk kepada mangsa yang menyaksikan serangan itu berkata, cucunya sedang bermain berhampiran sebuah trampolin apabila beruang itu muncul daripada belakang rumahnya.
“Saya mendengar dia (cucunya) menjerit beruang dan apabila saya menoleh, saya melihat kakinya di mulut beruang dan haiwan itu menyeretnya,” katanya kepada media.
Butler yang menggunakan kerusi roda melemparkan bar logam ke kepala beruang tersebut untuk menakutkan haiwan liar itu.
Beruang itu pada mulanya melepaskan budak lelaki itu tetapi kemudian mengheretnya semula menggunakan cakarnya.
Tambah Butler, jiran yang mendengar jeritan cucunya bergegas ke kebun dan akhirnya menakutkan beruang itu dengan menggunakan besi paip.
Tidak lama kemudian, polis negeri dan pegawai dari Jabatan Tenaga dan Perlindungan Alam Sekitar tiba dan menembak mati beruang itu. – Agensi