ISKANDAR PUTERI – Seorang pemandu treler ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan dia dipukul seorang anggota polis trafik di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu ditahan di lokasi sama, kira-kira 1 tengah hari.
Beliau berkata, pihaknya mengesan sebuah video berdurasi 50 saat yang tular menerusi aplikasi TikTok dan dipercayai dimuat naik oleh lelaki berkenaan menggunakan akaun ‘Abe Chik Kelantan’, mendakwa dia dipukul seorang anggota trafik, kira-kira 10.20 pagi.
“Hasil semakan mendapati satu laporan telah dibuat oleh anggota polis terlibat yang menyatakan sebuah treler berada di lorong kanan dikhaskan kepada kenderaan ringan sahaja, ketika dia sedang menjalankan pemantauan lalu lintas.
“Pemandu treler terbabit dikatakan enggan memberi kerjasama dan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum bertindak membuka pintu lalu menumbuk muka anggota berkenaan sebanyak dua kali selain menendang motosikalnya ketika pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rahmat berkata, berlaku sedikit pergelutan antara mereka dan anggota terbabit cuba mempertahankan diri atas tindakan pemandu treler berkenaan.
Susulan itu, beliau berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.
“Permohonan reman terhadap lelaki itu akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan,” katanya. – BERNAMA