Antara Pendatang Asing Tanpa Izin warga Myanmar yang ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia di Shah Alam, Selangor. Foto: Ihsan JIM Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dengan penahanan seorang lelaki warga Kemboja disyaki menjadi dalang aktiviti tersebut dalam operasi yang dijalankan di Terminal Bas Shah Alam, Selangor pada Ahad lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat seorang ejen dan lima orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang akan dihantar ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres dari negeri sempadan Malaysia-Thailand.

“Siasatan mendapati PATI yang diseludup dipercayai baru masuk ke negara ini secara tidak sah melalui ‘lorong tikus’ di sempadan Malaysia-Thailand.

“Pasukan operasi telah mengesan sekumpulan enam orang warga asing yang disyaki ejen dan PATI yang diseludup berada di dalam terminal bas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Khairul Dzaimee, sejurus warga asing tersebut keluar dari terminal, pasukan operasi telah menahan mereka dan menjalankan pemeriksaan.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan itu JIM menahan seorang lelaki warga Kemboja berumur 47 tahun yang disyaki menjadi ejen bersama dua orang lelaki warga Myanmar dan tiga orang perempuan Myanmar berusia antara 18 tahun sehingga 44 tahun.

Katanya, semakan lanjut mendapati kesemua warga Myanmar itu tidak memiliki dokumen perjalanan dan soal siasat mendapati mereka tiba di negara ini pada Sabtu lalu melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Semakan ke atas ejen warga Kemboja juga mendapati dia telah masuk ke negara ini pada Julai tahun lalu dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS),” ujarnya,

Menurut Khairul Dzaimee, sindiket  itu dikesan mula beroperasi sejak pintu sempadan negara dibuka semula.

Jelasnya, ejen penyeludupan di negara jiran akan mengenakan bayaran antara RM5,000 hingga RM6,000 setiap PATI untuk masuk ke negara ini dan mereka akan membayar ejen di Malaysia antara RM300 hingga RM500 bagi setiap PATI yang diuruskan.

Katanya, mereka ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Akta Imigresen 1959/63 dan akan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast