Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Adham Baba dalam Majlis Pelancaran 'MYStartup East Coast Region Roadshow' Pahang di Pahang Teknologi Park, Gambang, Pahang.

GAMBANG – Syarikat pemula berasaskan sektor sains, teknologi dan inovasi di Pahang diminta menyertai portal ‘MYStartup Platform’ bagi membolehkannya meneroka potensi perniagaan dan pelaburan yang lebih meluas.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Adham Baba berkata, kini hanya 13 daripada 3,567 syarikat menyertai platform itu.

“Saya telah memperoleh maklum balas berhubung cabaran yang dihadapi oleh start-up di Pahang dan telah mengenal pasti tiga intervensi untuk memperkukuh ekosistem syarikat pemula di Pahang,” katanya pada majlis Pelancaran ‘MYStartup East Coast Region Roadshow’ Pahang, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Timbalan Menteri Kewangan 1, Datu Indera Mohd Shahar Abdullah.

Menurut Adham, pemilihan Pahang dalam siri jelajah MyStartup Roadshow adalah untuk memberi semangat kepada syarikat-syarikat pemula di negeri itu.

Tambah beliau, selain memberikan taklimat mengenai inisiatif dan halatuju industri ‘start-up’ negara, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menerusi Cradle telah mengadakan sesi perkhidmatan perundingan bersemuka ‘one-on-one’ dengan peserta yang berminat.

“Para peserta juga telah didedahkan dengan Program & Demo Portal MYStartup, Program pembiayaan dibawah Bahagian Dana Mosti, Program pembiayaan melalui geran CIP SPARK dan CIP SPRINT Cradle serta Informasi daripada rakan-rakan strategik setempat dalam program dua hari berakhir hari ini,” kata Adham.

Tambah beliau, dengan adanya program-program ini, Mosti yakin lebih banyak syarikat pemula dapat memperoleh input berguna, seterusnya mengembangkan perniagaan mereka seiring perkembangan pesat teknologi dan mampu menempa nama di pentas global.

Syarikat pemula dalam sektor sains, teknologi dan inovasi yang berminat untuk menyertai paltform MyStartup boleh mendaftar menerusi laman web www.mystartup.gov.my. – MalaysiaGazette