Datuk Zaid Ibrahim

KAJANG – Tindakan penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago menfailkan saman pemula terhadap Perdana Menteri Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) susulan pembubaran Parlimen tidak akan mendatangkan sebarang kesan.

Malah, tindakan Santiago juga tidak akan berjaya menggagalkan usaha untuk mengadakan pilihan raya kerana tidak ada siapapun yang boleh mempersoalkan perkara tersebut kerana ia telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, kata Datuk Zaid Ibrahim.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menyifatkan Santiago cuba mencari publisiti ketika negara bakal mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Itu saya rasa dia nak cari publisitilah tu kot. Saya rasa tiada guna dia buat begitu, tidak berkesan dan tidak akan berjaya.

“Dia bersikap sedemikian dalam masa pilihan raya ni mungkin dapat publisitilah, saya rasa itu tidak ada kesan,” katanya ketika ditanya mengenai tindakan yang diambil oleh Santiago berhubung perkara itu.

Beliau ditemui selepas menjadi panel pada Program Minda Profesor yang bertajuk Apa masalah Sistem Kita? Perundangan dan Politik yang berlangsung di Majlis Profesor Negara, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Zaid berkata, Santiago mungkin mempunyai alasan sendiri mengapa beliau bertindak sedemikian.

“Mungkin pandangan dia berbezalah, tapi saya rasa dia tidak akan berjaya, sebab perkara ini jelas kuasa duli yang maha mulia untuk membubar.

“Pada saya jelas, bila diminta oleh Perdana Menteri, tidak ada ruang pada sesiapa pun mempersoalkan perkara itu,” tambah beliau.

Minggu lepas, Santiago memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertujuan menghalang SPR daripada menjalankan PRU.

Charles juga menuntut satu deklarasi bahawa permintaan Defendan Pertama kepada Yang di-Pertuan Agong pada 9 Oktober 2022 untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan kerana permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat, atau berdasarkan kuasa am, Jemaah Menteri dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

Beliau juga menuntut satu deklarasi bahawa pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober 2022 seperti yang dimaklumkan melalui P.U.(A) 320 tidak mengikut Perkara 55(2) dibaca bersama Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

Justeru, Charles menuntut satu deklarasi bahawa defendan ketiga iaitu SPR, tidak mempunyai asas undang-undang untuk mengambil apa-apa langkah mengadakan PRU termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pengeluaran mana-mana writ bawah Seksyen 12, Akta Pilihan Raya 1958 dan pengeluaran sebarang notis bawah Peraturan 3(1), Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981. – MalaysiaGazette