Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang menghubungkan Puncak Perdana di Shah Alam dengan Penchala di Damansara. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pemegang konsesi projek Lebuhraya Bertingkat  Damansara Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) bertanggungjawab terhadap semua pembayaran kepada kontraktor dan bukannya kerajaan.

Kementerian Kerja Raya (KKR), dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) adalah pemegang konsesi bagi kedua-dua lebuh raya tersebut.

“KKR mengambil maklum tentang aduan beberapa kontraktor mengenai pembayaran lewat bagi kerja-kerja projek DASH. Kami juga mengambil maklum tentang kontraktor yang terjejas berikutan tunggakan bayaran bagi projek lebuh raya SUKE yang baharu dibuka.

“Di bawah perjanjian konsesi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memiliki kuasa kawal selia bagi mengaudit bajet bagi lebuh raya tersebut dan melakukan intervensi,” menurut kenyataan itu.

Justeru, KKR memaklumkan pihaknya  sudah mengarahkan LLM untuk segera mengadakan pertemuan dengan pemegang konsesi, kontraktor dan  subkontraktor yang terjejas  bagi memastikan segala pembayaran tertunggak diselesaikan secepat mungkin seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu hari ini, Ismail Sabri mengarahkan supaya sebarang hutang berkaitan projek lebuh raya DASH perlu dijelaskan.

Perdana Menteri berkata demikian bagi mengulas isu dakwaan hutang yang belum dibayar kepada sebilangan subkontraktor projek DASH berjumlah lebih RM80 juta yang menyebabkan subkontraktor terlibat dengan projek berkenaan mengalami kesukaran.

Lebuhraya DASH sepanjang 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan keluar masuk dibuka mulai 12.01 tengah malam Jumaat lepas.

Persimpangan itu ialah Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang Dua, Subang Airport, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.

Ia menghubungkan tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

Sementara itu, PROLINTAS, dalam kenyataan, memaklumkan Turnpike Synergy Sdn Bhd selaku kontraktor utama dilantik Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (PLDASH) bagi menyiapkan kerja pembinaan projek lebuh raya itu, telah membuat bayaran kepada Kontraktor Pakej Kerja (KPK).

PROLINTAS memaklumkan pembayaran bagi segala tuntutan dibuat selepas mendapat perakuan dan pengesahan perunding jurutera utama dan perunding juru ukur bahan melalui Sijil Perakuan Interim Pembayaran serta dipersetujui bersama pihak perunding dan KPK.

“Pihak Turnpike juga telah mengambil pelbagai inisiatif dalam membantu KPK seperti pembayaran dalam tempoh 30 hari berbanding terma kontrak 60 hari dan pembayaran terus kepada subkontraktor tertakluk kepada kebenaran daripada KPK.

“(Selain itu) pembayaran dua kali sebulan untuk membantu aliran tunai KPK dan subkontraktor untuk melaksanakan pembinaan Lebuhraya DASH dengan jayanya,” kata pemegang konsesi itu.

Menurut PROLINTAS, memandangkan pembinaan DASH telah siap sepenuhnya, status penyiapan Lebuhraya DASH adalah dalam tempoh liabiliti kecacatan dan perakuan akaun muktamad akan dikeluarkan setelah kesemua tuntutan bayaran akhir pihak KPK diperhalusi dan diperakui oleh pihak Turnpike, perunding dan KPK.

“Sebarang tuntutan, dakwaan tunggakan atau pertikaian akan diperhalusi melalui proses yang telah termaktub dalam kontrak di antara kesemua pihak termasuklah proses timbangtara di antara pihak Turnpike dan KPK,” menurut kenyataan itu.

PROLINTAS memaklumkan pihak subkontraktor atau mana-mana pihak mendakwa terdapat tunggakan  bayaran oleh KPK, sewajarnya merujuk kepada terma-terma kontrak antara KPK dan subkontraktor berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian. – Bernama