Para pemenang Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2022.

NILAI – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjuarai Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2022 yang berlangsung baru-baru ini.

UMS membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000 berserta piala pusingan, trofi dan sijil, manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang muncul sebagai Naib Juara menerima wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.

Pada pertandingan tersebut, pendebat UMS Nur Fatehah Nordie juga turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Pendebat Terbaik Akhir dengan menerima hadiah RM1,000, trofi dan sijil.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, platform debat itu merupakan saluran dalam menyuarakan pandangan bernas dan kritikan yang membina kepada usaha kerajaan dan SPRM dalam membanteras rasuah.

“Idea-idea para pendebat begitu penting dalam membantu kerajaan dan SPRM mencorak kanvas perjuangan antirasuah di dalam negara ini.

”Isu-isu semasa berkaitan rasuah yang seringkali dibangkitkan oleh warga maya berasaskan sumber-sumber yang tidak tepat boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap SPRM dan kerajaan dapat diubah dengan penganjuran program melibatkan mahasiswa seperti ini,” katanya pada majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Akhir Debat Antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2022 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sebanyak 36 pasukan mewakili 16 Universiti Awam, empat Universiti Swasta, tujuh Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan sembilan pasukan dari Institusi Pendidikan Mara (IPMa) bersaing dalam pertandingan itu. – MalaysiaGazette